Keluar Zon Selesa, Dejavu Cabar Kemampuan Rasyad Menyanyikan Lagu Rancak
Penyanyi baharu yang kini semakin mendpat perhatian berikutan agresif memanfaatkan Instagram untuk berkongsi bakat nyanyiannya, Rasyad kini tampil dengan lagu baharu berjudul Dejavu.
Ia merupakan sebuah lagu yang cukup kuat melodinya serta mendapat sentuhan komposer handalan Omar K, Mas Dewangga, Firdaus Rahmat.
Istimewanya, lagu ini sememangnya memberikan dimensi berbeza dalam corak nyanyian berkenaan.
Sebagai seorang pencinta karya balada, Dejavu sebaliknya dihasilkan dengan genre rancak. Sekali gus, ia memberi angin baharu buat penyanyi ini sendiri bagi menyerlahkan lagi versatiliti seninya.
Demikian juga liriknya yang jelas membawa perspektif menarik apabila bercerita mengenai kekeliruan atau konflik dalam diri seseorang.
Dalam kehidupan, manusia sering diuji dengan perasaan yang sukar dikikis sehingga membelenggu dirinya setiap masa dan itulah serba-sedikit kisah dalam Dejavu.
“Kalau mengikut definisi dan visi, lagu ini bercerita mengenai seseorang yang masih lagi terperangkap dalam dunianya sendiri. Hal itu disebabkan dia masih tidak boleh menerima kenyataan dan terfikir mengenai orang tertentu.
“Bayangan individu itu masih bermain di mindanya selain rasa bersalah menebal memikirkan kesilapan yang dilakukannya,” katanya mengenai lagu berkenaan.
Bercerita mengenai keputusannya keluar dari zon selesa, Rasyad mengakui hal itu sebenarnya tidak disangka. Apatah lagi, dia sendiri sudah terlalu biasa dan lebih menjiwai karya-karya berentak balada.
“Rupa-rupanya Dejavu adalah sebuah lagu yang disuntik dengan rentak lebih rancak dan saya akui jatuh cinta serta-merta dengan melodinya. Proses rakaman lagu ini agak untuk kerana pada awalnya, saya ingat akan diberikan lagu balada memandangkan genre nyanyian saya memang itu.
“Namun, kami kemudian mencuba melodi sedikit rancak dan tidak sangka bunyi serta auranya lebih sedap. Secara kasar, ia siap dalam tempoh tiga bulan termasuk proses adunan dan ‘mastering’,” katanya.
Dalam pada itu, Rasyad semestinya berdepan cabaran tersendiri sebagai pendatang baharu terjun ke rakaman profesional dengan pendekatan arus perdana.
Menurutnya, paling sukar adalah untuk menyalurkan perasaan yang tepat selain memberikan jiwanya dalam lagu itu. Bagaimanapun, dia bersyukur dapat mempelajari perkara baharu sepanjang proses itu.
“Saat yang sukar untuk saya adalah menangani rasa gementar dan takut. Ini kerana, saya merasa sangat susah untuk menjiwai sesebuah lagu itu sewaktu rakaman dan memberikan segalanya dalam diri.
“Perihal memilih jenis aura yang tepat untuk menggambarkan diri saya juga agak mengelirukan apalagi saya masih terlalu mentah dalam industri,” katanya.
Apapun, Rasyad ternyata berjaya mengatasi kekeliruan itu dengan menjadi diri-sendiri.
Baginya, sebagai anak seni, dia perlu terus belajar mencari kekuatan sedia ada dalam dirinya dan memanfaatkan sebaiknya termasuklah untuk nyanyiannya. Begitu juga keterbukaan untuk menyerlahkan sisi berbeza, sama pentingnya.
“Sudah tentu saya puas hati sangat dengan lagu Dejavu ini. Saya yakin dan bangga untuk mengakui ini adalah lagu yang berjaya menggambarkan diri sebenar saya.
“Saya percaya, kita semua ada sisi berbeza yang tidak perlu risau untuk dipamerkan kepada orang lain. Contohnya, yang ceria, serius, dan mood kurang baik,” katanya.
Berbekalkan raut wajah manis, bakat nyanyian Rasyad nampaknya terbukti diterima baik di media sosial.
Dia memiliki lebih 16,000 pengikut di Instagram, menggunakan IG untuk memperkenal bakat nyanyiannya, dikenali dengan lagu-lagu nyanyian semula baik karya tempatan mahupun antarabangsa, dan pernah melancarkan lagu berjudul Terlanjur Jatuh Cinta.
Dejavu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – KopiPlanet.com
The post Keluar Zon Selesa, Dejavu Cabar Kemampuan Rasyad Menyanyikan Lagu Rancak appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: