Ads Top

Karya Filem: Jika Mata Tak Mampu Menghayati, Maka Tontonlah Dengan Hati

Filem bukan sekadar hiburan. Jika itu menjadi penafsiran, maka golongan itu buta tentang apa itu filem. Dalam konteks umum, filem boleh dikelaskan dengan pelbagai tujuan dan maksud.

Dalam dunia pawagam, filem adalah produk utama yang menjadi bahan jualan dan menarik penonton untuk datang ke pawagam. Penonton tidak datang ke pawagam hanya kerana ingin menikmati pop corn perasa caramel yang rangup.

Jika ada pun, mungkin hanya dalam 1% hingga 3% daripada jumlah penonton yang hadir untuk sekadar menikmati pop corn. Falsafahnya mudah, tujuan ke pawagam adalah untuk menonton filem.

Maka dengan itu, klasifikasi filem bagi maksud pawagam adalah untuk tujuan komersil.

Ia berbeza dalam konteks produksi filem. Ada sebahagiannya mempunyai cita rasa sama dengan pawagam untuk tujuan komersil.

Namun ada sebahagiannya lebih kepada aspek yang lebih unik kerana ia akan menyentuh soal kreativiti, karya, ilmu serta minat yang disampaikan mengikut kemahiran dan kepakaran teknik perfileman yang sangat subjektif.

Cuma, kenapa kini sebahagian daripada kita sangat tidak menghormati filem dengan membedil karya orang lain hanya kerana kita gagal untuk menghayatinya.

Jujur untuk dikatakan bahawa penulis juga seorang yang sangat sukar menyukai filem, tetapi itu tidak bermakna penulis harus menghakimi filem tersebut secara tidak adil.

Penulis menyentuh aspek ini kerana dalam tempoh sukar ini, kedengaran sana sini komen menghentam filem-filem kita tanpa memberikan ruang yang sebaiknya.

Kalau kita ingin memberikan pandangan atau kritikan, berikan pandangan dengan fakta jelas jika tidak pun dengan bahasa perfileman.

Apa yang perlu dilakukan ialah berikan ruang yang seluasnya untuk filem kita memasuki pasaran maka pasaran akan menentukan.

Harus diingat bahawa siapa pun kita dalam industri ini, hebat mana pun ilmu kita dalam perfileman dan setinggi mana jawatan kita dalam organisasi, kita bukan orang yang layak mendahului pasaran.

Ilmu pasaran filem adalah subjek yang luar biasa. Sepanjang pengalaman penulis dalam dunia pawagam sejak tahun 2001 hingga kini, adakalanya filem yang mendapat komen negatif oleh komunitinya, tetapi tetap menjadi pilihan pasaran untuk kutipan yang hebat.

Dengan itu, berhenti memberikan komen terhadap karya filem kita jika ia dibayangi oleh emosi diluar garis seni. Perbezaan pandangan dari segi dasar, polisi mahupun politik harus ditentukan di gelanggang lain.

Walau keras mana pun berantakan namun karya kita adalah milik sosial kita yang perlu dipertahankan.

Petuanya mudah, jika kita menonton sebuah filem, jangan sekadar menonton dengan mata kasar, tapi tonton lah dengan mata hati.

Sekiranya kita kata kita pernah menonton, tetapi sebenarnya kita tidak pernah menonton dan kemudian kita kritik, maka kritikan itu ibarat ‘seekor mambang yang mabuk kerana minum brandy’.

Doakan yang terbaik untuk karya filem kita tanpa mengira siapa penciptanya. – KopiPlanet.com

The post Karya Filem: Jika Mata Tak Mampu Menghayati, Maka Tontonlah Dengan Hati appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.