Ads Top

Maksud Jawami’ Al-Kalim, Salah Satu Keistimewaan Rasulullah

Apabila kita melihat sirah Rasulullah SAW, banyak sifat dan peribadi mulia yang telah diceritakan mengenai keperibadian Baginda SAW. Contohnya, Baginda merupakan seorang manusia yang sangat amanah. Sebelum dilantik menjadi Rasul lagi, sifat amanah ini memang terkandung dalam dirinya.

Perkara ini menunjukkan bahawa Baginda SAW merupakan salah seorang tauladan yang baik melalui sifat mulianya yang bukan ada selepas Baginda diangkat menjadi nabi.

Antara keistimewaan lainnya adalah Baginda diberi kelebihan yang unik dan tidak sama dengan kelebihan daripada nabi-nabi lain.

Baginda diberi kelebihan sebagai Jawami’ al-kalim. Apakah yang dimaksudkan dengan kelebihan ini?

فُضِّلْتُ عَلَى الأَنْبِيَاءِ بِسِتٍّ أُعْطِيتُ جَوَامِعَ الْكَلِمِ وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ

Maksud: “Aku diberi kelebihan dibandingkan nabi-nabi sebelumku dengan 6 perkara; aku diberi Jawami’ al-Kalim, aku ditolong dengan rasa takut yang disematkan di hati para musuh …” (HR Muslim, no. 523)

Imam Ibnu Hajar menyebutkan bahawa Jawami’ al-Kalim ini mengandungi dua makna melalui perbahasan ulama, iaitu;

#1 – Al-Quran

Keistimewaan ini sendiri adalah Al-Quran yang hanya diberikan kepada Rasulullah untuk kegunaan sepanjang zaman.

Al-Quran sendiri merupakan kitab yang sangat suci dan memberi petunjuk yang menyeluruh. Ulama berpendapat Jawami’ al-Kalim dimaksudkan dengan Al-Quran kerana berdasarkan beberapa hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Aku diutus dengan membawa Jawami’ al-Kalim.” (HR Bukhari, no. 2977)

#2 – Dakwah Rasulullah Yang Ringkas Dan Penuh Makna

Imam Al-Zuhri pula menyebut bahawa Jawami’ membawa maksud kepada peribadi Baginda SAW ketika berbicara, hanya mengeluarkan kata-kata yang memberi makna.

Bahkan, kata-katanya pendek, ringkas dan mudah tetapi padat dengan makna. Pendapat ini dipetik daripada Imam Al-Munawi juga yang bermaksud;

“Jawami’ al-Kalim maksudnya adalah kemampuan di mana dengan itu beliau mampu menyampaikan kalimat ringkas, namun maknanya amat luas dengan susunan yang bagus, tidak menyusahkan dan membuat pemikiran kita mudah memahaminya.” (Faidhul Qadir, 1/719)

Kesimpulan

Dua maksud yang dibahaskan ulama adalah sebagai Al-Quran dan juga kata-katanya yang padat dengan maksud.

Apa yang Rasulullah sampaikan adalah Al-Quran sendiri yang telah diwahyukan kepadanya dan Baginda akan memberi dakwah yang mudah difahami kepada umatnya.

Jawami’ al-Kalim merupakan salah satu keistimewaan Baginda SAW sebagai salah satu bentuk tauladan kepada umatnya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Kajian Mengenai Motivasi Rasulullah

The post Maksud Jawami' Al-Kalim, Salah Satu Keistimewaan Rasulullah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.