Ads Top

Bolehkah Solat Hormat Waktu Dalam Kereta Ketika Terperangkap Dalam Banjir

Musim hujan kembali melanda dan menjejaskan beberapa kawasan sehingga mengakibatkan banjir. Baru-baru ini juga terdapat beberapa kawasan yang tidak dapat dibuka akibat banjir dan ada juga sehingga berlakunya tanah runtuh serta jalan yang pecah.

Hal ini menyebabkan pengguna jalan raya tidak dapat meneruskan perjalanannya dengan baik ekoran laluan yang terhalang.

Wujudnya persoalan, bagaimana jika tidak dapat meneruskan perjalanan seperti biasa dan mempunyai masalah untuk menunaikan solat dengan sempurna, adakah dibolehkan untuk menunaikan solat di dalam kereta dengan diniatkan solat menghormati waktu?

Apa Itu Solat Hormat Waktu

Pertama sekali kita perlu faham apa itu solat menghormati waktu? Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas kerana ketiadaan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayammum. Solat tersebut juga dilakukan dalam keadaan tidak menghadap kiblat.

Justeru, ia wajib diqada (ganti) semula setelah beroleh air dan juga dapat menunaikan solat dengan menghadap kiblat. Ulama juga menyebut bahawa ia boleh dilakukan secara jamak atau qasar dengan syarat masih berada dalam keadaan musafir.

Bolehkah Solat Hormat Waktu Dalam Kenderaan

Sebenarnya, bukan dalam kereta sahaja boleh menunaikan solat hormat waktu, namun juga tempat di mana sukar untuk berwuduk atau menghadap arah kiblat seperti pesawat dan kereta api.

Justeru, hukum menunaikan solat hormat waktu di dalam kereta adalah dibolehkan jika berlakunya kemudaratan dan menepati syarat yang disebut.

Bagaimana Solat Hormat Waktu

Solat ini boleh dilakukan dalam keadaan duduk sahaja memandangkan anda sedang berada di dalam kereta. Anda juga perlu mamastikan badan dan tempat duduk anda bersih dan bebas dari najis. Kasut hendaklah ditanggalkan kerana dibimbangi terkena najis.

# 1 – Niatnya adalah seperti berikut;

Maksud: “Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat menghormati waktu kerana Allah Taala.”

#2 – Bacaan-bacaan di dalam solat adalah seperti biasa.

#3 – Rukuk pula hendaklah dilakukan dengan isyarat, iaitu menundukkan kepala ke bawah sedikit. Kedua tangan anda hendaklah diletakkan di lutut.

#4 – Untuk sujud pula, ia perlu dilakukan dengan menundukkan kepala dan badan ke bawah sedikit melebihi isyarat rukuk tadi.

#5 – Manakala, untuk duduk di antara dua sujud, duduk tahiyat awal dan tahiyat akhir, kedudukannya adalah sama seperti duduk membaca Al-Fatihah.

Kesimpulan

Solat hormat waktu adalah berdasarkan kepada kisah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ketika Saidatina ‘Aisyah yang kehilangan rantainya sewaktu bermusafir. Maka, Rasulullah memerintahkan beberapa orang sahabat untuk membantu mencari kalung tersebut.

Namun, apabila tibanya waktu solat, mereka tidak menemui air untuk berwuduk. Lalu, sahabat menunaikan solat tanpa wuduk. Apabila hal ini diceritakan kepada Baginda SAW, turunlah wahyu mengenai tayammum.

Justeru, solat hormat waktu ini adalah dibolehkan jika berlakunya situasi yang sukar berwuduk atau bertayammum dan tidak dapat menghadap ke arah kiblat.

Namun, ia wajib diganti apabila sudah mempunyai kemudahan atau kemampuan untuk bersuci dan menghadap ke arah kiblat.

Rujukan:
JAKIM – E-Solat
Mufti Wilayah – Solat Dalam Kenderaan

The post Bolehkah Solat Hormat Waktu Dalam Kereta Ketika Terperangkap Dalam Banjir first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.