Ads Top

Bolehkah Mengucapkan Ucapan Alhamdulillah Ketika Bersin Di Dalam Solat

Salah satu adab ketika bersin adalah mengucapkan ucapan tahmid, iaitu pujian kepada Allah dengan ucapan Alhamdulillah.

Perbuatan bersin adalah salah satu perbuatan yang boleh mengeluarkan penyakit dari tubuh badan seseorang. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA menyebut bahawa bersin adalah salah satu perbuatan yang baik.

Maksud: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai bersin dan membenci menguap.” (HR Bukhari, no. 6226)

Ucapan Alhamdulillah sebagai salah satu pujian dan syukur kepada Allah kerana ia boleh menghindari diri kita daripada penyakit.

Namun, bagaimana pula jika bersin semasa dalam solat? Adakah ucapan tahmid juga perlu diucapkan?

Dalam hal ini, ulama menyebut bahawa dibolehkan untuk mengucapkan tahmid di dalam solat. Namun, perlu diperhatikan kelantangan suaranya, iaitu tidak boleh diucapkan dengan kuat sehingga menganggu orang lain. Seeloknya, ucapan ini didengari oleh diri sendiri sahaja.

Jika menunaikan solat secara berjemaah, orang yang mendengar ucapan tahmid itu tidak perlu membalasnya dengan balasan Yarhamukaallah.

Hal ini kerana, ucapan tahmid adalah bentuk dialog dan pujian manusia terhadap Allah. Disebabkan itu, ia adalah dibolehkan.

Namun, ucapan tasymit, iaitu Yarhamukaallah adalah bentuk doa dari manusia kepada manusia. Di dalam solat, kita tidak boleh bercakap atau mengucapkan ucapan selain daripada bacaan solat. Dan bacaan tasymit adalah bentuk ucapan sesama manusia. Sebab itu, ia tidak dibenarkan.

Kisah Rifa’ah Yang Bersin Dalam Solat

Ada sebuah kisah yang pernah diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ bin ‘Afra’, katanya – “Aku solat di belakang Rasulullah SAW, kemudian aku bersin. Maka, aku mengucapkan Alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakn fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha.

Apabila Rasulullah selesai solat, Baginda memalingkan wajahnya lalu berkata – “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?”

Kemudian, tiada siapa yang menjawab. Lalu Baginda bertanya lagi – “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?”

Tiada siapa yang menjawab juga. Kemudian, Baginda bertanya untuk kali ketiga – “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi.”

Rifa’ah bin Rafi’ menjawab – “Aku wahai Rasulullah.”

Baginda bertanya – “Bagaimana engkau menyebut tadi?”

Rifa’ah menjawab – “Aku menyebut alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha.”

Maka, Nabi bersabda – “Demi tuhan, yang mana nyawaku berada di tanganNya, sebanyak 30 lebih malaikat berbondong-bondong naik ke langit dengan ucapan tersebut.” (HR Tirmizi, no. 404)

Kesimpulan

Jika bersin di dalam solat, boleh untuk mengucapkan ucapan tahmid, iaitu Alhamdulillah sebagai bentuk syukur kepada Allah.

Namun, dengan syarat ucapan tersebut hanya didengari oleh diri sendiri sahaja dan tidak mengganggu jemaah lain.

Dan untuk orang yang mendengar ucapann tahmid itu, tidak perlu untuk membalas ucapan tersebut dengan tasymit, iaitu Yarhamukaallah.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Bolehkah Mengucapkan Ucapan Alhamdulillah Ketika Bersin Di Dalam Solat first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.