Ads Top

Batalkan Perkahwinan, Lia Natalia Alami Kerugian Sebanyak RM50,000

Pelakon Lia Natalia menyatakan dirinya serik untuk menjalinkan hubungan serius buat masa ini selepas perkahwinannya yang dirancang terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

Lia berkata, perkara yang berlaku itu menjadi pengalaman yang sangat bermakna buat dirinya.

“Memang rasa serik atas apa yang berlaku sehinggakan saya jadi takut untuk kembali membuka hati pada lelaki buat masa ini.

“Buat masa sekarang malas nak fikir mengenai lelaki. Rasa penat, duit, masa dan tenaga pun habis. Bagi masa untuk saya ubati semua ini dulu. Iyalah siapa yang tak sedih memikirkan sudah nak kahwin tapi tak jadi,” katanya.

Lia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang media drama terbaharunya, A. I. In Love di Angkasapuri, di sini, pagi tadi.

Baru-baru ini pelakon itu berkongsi perkahwinan dengan jejaka yang dikenali hampir setahun lalu yang sepatutnya berlangsung Disember lalu dibatalkan selepas hampir 70 peratus persiapan sudah disediakan.

Dalam pada itu, Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden yang enggan mendedahkan punca perpisahan dengan jejaka berusia 40 tahun itu, berkata hampir RM50,000 yang digunakan untuk persiapannya, lebur.

“Semua persiapan sudah tersedia, seperti tiket penerbangan pulang ke Tawau, Sabah. Bayangkan tiket saja sekitar RM20,000, tidak termasuk persiapan lain lagi seperti tempahan lokasi, hantaran dan sebagainya. 

“Selain itu, penggambaran pra-perkahwinan juga sudah dijalankan September lalu dan tunggu untuk dikeluarkan saja. Bagaimanapun, saya redha dengan ketentuan ini dan menyifatkan itu semua bukan rezeki saya.

“Alasan pada perpisahan kami, biarlah saya dan keluarga saja yang tahu sebab saya tak mahu membuka aib dia bagi menjaga nama baik dia dan keluarganya,” katanya. 

Dalam pada itu, Lia bersyukur ahli keluarga yang menetap di Tawau, Sabah tidak putus memberikan sokongan dan semangat.

“Perkara ini terjadi sekitar November lalu dan mujur ketika itu saya di Tawau. Jadi, keluarga sayalah yang banyak memberikan semangat. 

“Ibu saya juga katakan lebih baik ia jadi sekarang daripada saya menyesal selepas berkahwin nanti. Malah keputusan ini juga saya buat selepas berbincang dengan keluarga, dan kami merasakan membatalkan adalah jalan yang terbaik,” katanya. 

Lia berkenalan dengan jejaka itu selama sebulan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Tambah Lia lagi, pertemuan itu adalah sejurus selepas dia pulang mengerjakan umrah sekitar awal tahun lalu. – KopiPlanet.com

The post Batalkan Perkahwinan, Lia Natalia Alami Kerugian Sebanyak RM50,000 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.