Ads Top

“Baju Itu Dibeli Dengan Promosi Potongan Harga Dan Bukan Ditaja” – Natasha Hudson

Baru-baru ini nama pelakon Natasha Hudson kembali menjadi sebutan ramai gara-gara penampilannya majlis pelancaran produk suplemen kulit Crystal C White yang seolah-olah mendedahkan bahagian bahu memandangkan dia seorang wanita bertudung.

Lebih menghangatkan keadaan apabila pereka pakaian tersebut iaitu Rizman Ruzaini yang telah meluahkan rasa kecewa apabila ia disarung oleh artis bertudung (Natasha) memandangkan rekaan berkenaan dihasilkan untuk wanita tidak bertudung.

Apabila kenyataan tersebut menjadi bualan, rakan kongsi yang juga orang kuat produk terbabit, Nor Shahlina Abu lantas membuat kenyataan balas mengenainya.

Nor Shahlina mengakui dia terkilan dengan luahan duo pereka fesyen itu dan merasakan mereka tidak patut melatah serta menghentam siapapun pemakainya kerana pada hakikatnya pakaian itu dibeli dan bukannya ditaja.

Dalam pada itu, Natasha yang neutral dan memilih untuk tidak melatah ketika perkara itu menjadi perbualan akhirnya bangkit berkongsi hujahnya.

“Selepas diamati kenyataan mereka saya lihat ia lebih bersifat peribadi dan berat sebelah. Saya beranggapan mungkin kenyataan itu dibuatnya kerana mereka tidak tahu siapa pembeli busana terbabit pada awalnya.

“Atau mungkin juga kenyataan itu dibuat kerana saya bukanlah artis gred A yang sering bekerjasama dengannya. Namun dalam apa sudut sekalipun, perasaan pelanggan atau pembeli sepatutnya dihormati. Baju itu dibeli dengan promosi potongan harga dan bukan ditaja mereka.

“Sekalipun pembeli dan pelanggan mengenakan tudung dan meminati sesebuah rekaan yang bertentangan dengan imejnya, adakah mereka akan menjualnya? Saya pasti mereka akan menjualnya demi keuntungan tanpa mempersoalkan hasrat yang ingin membeli,” luahnya.

Menurut Natasha, dia mengakui agak terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh duo pereka itu.

“Saya bukan tidak mengenali mereka dan begitu juga sebaliknya, malah saya pernah menggayakan rekaan mereka suatu ketika dulu. Bukan mereka tidak boleh bertanya situasi sebenar atau selidik kepada saya sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang disifatkan seperti menghentam.

“Saya berasakan komen mereka yang busana itu tidak sesuai untuk orang berhijab tak tepat. Sedangkan kalau kita ‘google’ busana rekaan mereka sebelum ini untuk selebriti bertudung kelas A ada yang mengenakan turban dan menampakkan leher ataupun menampakkan potongan badan. Jadi, apa pula pendirian mereka terhadap situasi sebegitu. Tepuk dada tanya hati,” katanya.

Dalam pada itu, ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata itu tetap mengakui khilafannya apabila mengenakan pakaian berkenaan.

“Kalau diikutkan busana yang saya pakai itu boleh sahaja digayakan sesiapa pun mengikut citarasa dan olahan gaya masing-masing. Memang diakui saya ambil mudah melalui cara pemakaiannya.

“Secara jujurnya saya tak sangka ia akan mencetuskan kontroversi. Ingin saya tegaskan ia juga bukan kontroversi terancang untuk melariskan produk Crystal C White,” katanya yang dilantik menjadi ikon jenama produk berkenaan.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Natasha Liana Hudson berpandangan bahawa duo pereka fesyen itu harus membuat permohonan maaf kepada Nor Shahlina Abu.

“Kenyataan mereka mengguris hati Nor Shahlina yang juga rakan kongsi kepada Datin Reena Zach yang selama ini menjadi antara klien dan penyokong jenamanya. Cara mereka memberi jawapan tidak tahu siapa pembeli, baju itu dibeli dengan potongan harga 90 peratus juga dilihat tidak matang dan tidak sesuai disebut.

“Apakah satu dosa membeli baju yang dilelong dengan diskaun rendah? Ia seperti membuka pekung sendiri seolah-olah baju yang dihasilkan tidak laris sebelum potongan harga.

“Ingat istilah ‘customer is always right’. Sewajarnya mereka memohon maaf kepada Nor Shahlina. Dalam hal ini juga saya hanya pemakai dan ambil tanggungjawab menggalasnya biarpun diberi beberapa pilihan busana lain,” katanya. – KopiPlanet.com

The post “Baju Itu Dibeli Dengan Promosi Potongan Harga Dan Bukan Ditaja” – Natasha Hudson appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.