Ads Top

Erti Syahid Ke Atas Wanita Yang Meninggal Kerana Melahirkan

Menjadi seorang wanita yang bergelar ibu bukan suatu tugas yang mudah. Pengorbanan mereka tidak bermula saat mengetahui diri mereka sedang hamil, namun sebelum melangkah ke alam perkahwinan lagi.

Wanita adalah madrasah (sekolah) kepada generasi yang mereka lahirkan. Disebabkan itu, mereka perlu menjaga diri mereka dari peringkat awal bagi mewujudkan sebuah madrasah yang ‘selesa’ terhadap penuntutnya kelak.

Oleh itu, status sebagai seorang ibu amat berat, namun tuhan menjanjikan seribu satu nikmat buat mereka.

Taraf mereka dinaikkan sebagai seorang yang memegang status doa yang boleh dimakbulkan. Disebabkan itu, anak-anak amat memerlukan keberkatan doa dari ibunya.

Namun, perjalanan untuk menjadi ibu juga bukan mudah. Proses melahirkan yang menyakitkan boleh menggadai nyawa seseorang.

Disebabkan itu, wanita yang meninggal dunia kerana bersalin diganjarkan status syahid. Syahid yang dimaksudkan di sini bukanlah seperti syahidnya tokoh Islam yang berperang dan mayat mereka tidak perlu dimandikan kerana darah itu menjadi saksi perjuangan mereka.

Namun, syahidnya seorang ibu adalah disebabkan ganjaran mereka di atas pengorbanan tersebut. Di sini, mereka telah mendapat status syahid akhirat.

Namun, jenazah mereka tetap perlu diuruskan sebagaimana jenazah lain, iaitu dimandikan, dikafankan dan dikebumikan dengan baik.

Ibnu Hajar ada menyebut bahawa syahidnya ialah apabila malaikat telah menyaksikan mereka meninggal dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik).

Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan, iaitu diampuni dosanya darahnya mula keluar, melihat tempatnya di dalam syurga, dilindungi dari azab kubur, terjamin keamanannya dari malapetaka besar, dikahwinan dengan bidadari dan diperkenankan memberi syafaat bagi 70 orang kerabatnya.” (HR Tirmizi, no. 1663)

Rujukan:
Rumaysho.com

The post Erti Syahid Ke Atas Wanita Yang Meninggal Kerana Melahirkan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.