Ads Top

Dilabel ‘Ratu Soundtrack’, Adira Kini Muncul Dengan Lagu Kesempatan Bagimu

Melihat kepada perkembangan kerjaya nyanyian Adira Suhaimi, sehingga kini bintang yang lahir daripada Akademi Fantasia ini sudah merakamkan 10 buah lagu runut bunyi (soundtrack)

Maka, tidak hairanlah penyanyi yang juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu digelar ‘Ratu Soundtrack’.

Yang terbaru, pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi ini muncul lagi dengan sebuah lagu runut bunyi berjudul Kesempatan Bagimu.

Untuk lagu ciptaan gandingan komposer-komposer hangat masa kini iaitu Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, Kesempatan Bagimu bakal melatari drama 28 episod berjudul Tercipta Satu Ikatan di slot MegaDrama Astro Ria bermula 29 Disember ini. Lirik lagu tersebut pula hasil karya Ikhwan Fatanna bersama Arisz Abd Rahman.

Adira berkata, ada ketikanya dia merasakan ada rahmat tersembunyi dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan apabila menjadi pilihan menyanyikan lagu runut bunyi untuk drama TV.

“Pada saat ramai bakat-bakat baru dan yang sedia ada bersaing di pasaran, rezeki untuk menyanyikan lagu runut bunyi masih menyebelahi saya. Saya lihat semua itu daripada sudut positif sekali gus jadi penghormatan peribadi buat diri ini.

“Tahun ini saja sudah dua lagu runut bunyi saya nyanyikan. Sebelum ini, saya menyanyikan lagu Maaf untuk drama Maaf Tak Indah yang menghiasi slot Samarinda TV3 pada bulan Februari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Kesempatan Bagimu yang siap dirakam bulan lalu itu sebenarnya adalah kerjasama kali keempat Adira dengan Ikhwan Fatanna.

Selain itu, ia menjadi single solo ketiga kerjasamanya bersama Nova Music selepas lagu-lagu hit, Pujaan Hati dan Maaf.

“Sebelum Kesempatan Bagimu, saya terlebih dahulu mencipta keserasian dengan lagu karya Ikhwan Fatanna sejak dari lagu Pujaan Hati, Takdir Tercipta dan juga Maaf. Saya juga secara peribadi senang bekerjasama dengannya

“Lagu baru ini pun dirakam tanpa ambil masa yang panjang. Selain sudah faham rentak kerja dengan komposer, saya juga sudah dapat lagu ini lebih awal untuk berlatih.

“Kebetulan lagu baru ini pun berentak balada seperti yang sebelumnya. Tak saya nafikan jiwa ini lebih terarah menyanyikan lagu berentak balada dan melankonlik. Mungkin juga dalam ketegasan diri ini, kelembutan jiwa itu masih terserlah,” jelasnya.

Menurutnya lagi. dia secara peribadi tidak menganggap gelaran ‘Ratu Soundtrack’ itu sebagai perkara membebankan, sebaliknya ia menjadi nilai tambah dalam perkembangan kerjaya nyanyiannya. 

“Kalau ada yang suka dengan lagu nyanyian saya melatari drama di kaca TV itu sudah cukup baik. Lagu soundtrack ini menyuntik dan menjentik emosi penonton dan jika ada yang terus memberikan gelaran ‘Ratu Soundtrack’ kepada saya memang tiada masalah.

“Malah, saya bersyukur dengan pengiktirafan sebegitu. Bila difikir daripada skop yang lebih luas, ia semua peluang dan juga rezeki untuk saya kekal relevan di persada seni. 

“Untung apabila lagu dipilih jadi runut bunyi kerana dalam tempoh siaran drama itu di kaca TV atau pelantar digital, ia akan terus dimainkan dan secara tak langsung akan cepat diingat. Jadi, selain radio dan laman maya, TV juga jadi ruang promosi yang baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adira juga sejak awal tahun ini menceburi perniagaan menjual barangan bundle dan vintaj.

“Saya selesa mencuba nasib dalam bidang baru ini. Malah, kemungkinan saya akan buat siaran langsung menjual barang di laman sosial. Tak perlu malu pun, janji rezeki halal. Tak kisahlah siapapun kita. 

“Di saat kita diuji dengan pandemik Covid-19 ini, ramai yang terkesan dan melibatkan diri dengan pelbagai perniagaan alternatif untuk bangkit semula meneruskan survival,” katanya.

Single terbaru ini bakal dilancarkan pada 25 Disember ini dan boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, YouTube Music, KK Box dan Deezer pada hari tersebut.

“Siaran perdana video muzik rasmi single tersebut juga boleh ditonton pada hari yang sama pada pukul 9.00 malam di saluran YouTube Nova Music Videos. – KopiPlanet.com

The post Dilabel ‘Ratu Soundtrack’, Adira Kini Muncul Dengan Lagu Kesempatan Bagimu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.