Ads Top

Ballz Talk Program Bual Bicara ‘Up Close & Personal’ Selebriti Tanah Air

Sebagai langkah memberi pilihan yang lebih fleksibel untuk kandungan kreatif alaf baharu menerusi platform digital, buat julung kalinya produksi D’Alphalegacy membawakan sebuah program berkonsepkan bual bicara berjudul Ballz Talk yang disiarkan secara eksklusif menerusi platform perkongsian video global terkemuka iaitu YouTube.

Sebagai pengenalan, program yang dikendalikan oleh pasangan pengacara Elly Arifin dan Iman Zulkarnain ini bakal menampilkan empat selebriti tanah air sebagai tetamu undangan iaitu Zizan Razak, Iqram Dinzly, Farah Ahmad serta Armada Ammar atau lebih dikenali sebagai Ammar Titan serta mendapat sentuhan kreatif sutradara Opie Zami yang merupakan pengarah untuk musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif D’ Alphalegacy (M) Sdn. Bhd., Diyana Ismail berkata, dalam usaha meluaskan lagi testimoni D’Alphalegacy sebagai ‘content creator’ di landskap media baharu dan digital, mereka dengan berbesar hati membawakan perkongsian ‘up close & personal’ selebriti-selebriti tanah air menerusi program eksklusif Ballz Talk.

“Sejujurnya, menghasilkan karya digital bukanlah perkara mudah seperti yang disangka kerana ia menuntut kemahiran naratif penceritaan yang kreatif agar kandungan tersebut mempunyai jalan cerita yang boleh diterima secara global oleh peminat seni hiburan.

“Selain itu, idea asal tersebut juga mestilah di luar kotak dan mempunyai stail tersendiri walaupun nampak santai. Ia harus mampu membuatkan penonton berasa dekat dengan intipati yang ingin disampaikan di samping berjaya menerapkan mesej yang positif buat masyarakat,” ujarnya.

Diyana berkata, dia mengakui berada di landasan digital juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pihaknya untuk melakukan pelbagai eksperimen kreatif dalam menghasilkan karya-karya unik yang ‘up to date’ dan mengujakan bagi mendekati para penonton.

Jelasnya, keunikan Ballz Talk terletak kepada kandungan visual yang kompak yang disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital lantas memudahkan penonton untuk mengikut kisah mereka walau di mana mereka berada.

“Setiap tetamu undangan yang menjayakan program ini dipilih berdasarkan pengalaman mereka sebagai anak seni dan latar belakang kehidupan yang penuh warna warni bagi menyuntik pelbagai elemen menarik dalam program ini.

“Secara keseluruhannya, kami positif dan yakin dengan kemampuan pengacara yang semakin meningkat naik, Elly Arifin dan Iman Zulkarnain dalam mengendalikan program bual bicara ini yang diharapkan dapat meletakkan penanda aras yang tinggi dalam dunia hiburan serta dapat memberikan inspirasi kepada para penonton,” ujarnya.

Tambahnya lagi, lebih istimewa sesi temubual eksklusif yang bersifat up close & personal menerusi program Ballz Talk ini juga mengetengahkan pelbagai perkongsian penuh emosi dan pengalaman peribadi yang mungkin tidak pernah dikongsikan kepada masyarakat umum sebelum ini.

Rakaman program Ballz Talk akan berdurasi selama 20 minit menerusi paparan empat buah episod dan boleh mula distrim secara eksklusif di saluran YouTube ‘D’Alphalegacy pada setiap hari Jumaat pukul 8.30 malam mulai 4 Disember 2020. – KopiPlanet.com

The post Ballz Talk Program Bual Bicara ‘Up Close & Personal’ Selebriti Tanah Air appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.