Ads Top

Bagaikan Mutiara Raikan Memori Indah Usia Perkahwinan & Pengorbanan Tya Arifin

Setelah kali terakhir menghasilkan lagu pada tahun 2013 menerusi lagu Bawalah Aku, kini Tya Arifin kembali tampil menerusi single baharu berjudul Bagaikan Mutiara.

Lebih dikenali sebagai pelakon, artis kelahiran Indonesia yang mendirikan rumah tangga dengan Asyraf Khalid ini merasakan sudah tiba masanya untuk dia muncul dengan sebuah lagu baharu.

Bagi Tya, lagu Bagaikan Mutiara cukup istimewa buat dirinya kerana ia dianggap sebagai meraikan memori indah sepanjang perkahwinannya bersama Asyraf yang kini memasuki tahun kelima.

“Selama lima tahun usia perkahwinan ini, sudah tentu banyak momen-momen indah dan cabaran yang dilalui, terutama sekali apabila saya berkahwin dan berhijrah ke Malaysia.

“Jadi, saya rangkumkannya dalam sebuah lagu dan terhasilnya lagu Bagaikan Mutiara. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk saya kongsikannya bersama peminat,” ujarnya.

Tya berkata demikian sewaktu ditemui semasa pelancaran lagu Bagaikan Mutiara yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Tya, lagu nuansa pop ciptaan Ahmad Jeffny dan penyanyi Yuka Kharisma itu menjadi bukti biarpun melakukan banyak pengorbanan dalam hidup, minatnya terhadap dunia seni yang terlebih dahulu diceburi tidak pernah terhakis. 

Ujarnya, apa yang lebih istimewa lagu yang dirakamkan 20 Oktober lalu ini turut mendapat sentuhan nukilan lirik suami tercinta, Asyraf Khalid bersama Ahmad Jeffny.

Dalam pada itu, Tya menyatakan bukan satu keputusan mudah  untuk dirinya meninggalkan keluarga serta kerjaya di Indonesia yang ketika itu semakin berkembang.  

Namun begitu, ujarnya dia telah bertekad dan percaya bahawa cinta yang teguh itu menjadi azimat berharga membawa bahagia berterusan.

“Lirik awal lagu ini sendiri bermula dengan kembara saya dari negara kelahiran menuju ke Malaysia.

“Boleh dikatakan bahawa lagu ini adalah mengenai perjalanan saya bertemu dengan suami dan seterusnya membuka lembaran baru dalam hidup sekali gus menebarkan impian yang lebih besar,” ujarnya yang kini dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, 2.

Selain menghasilkan lirik, lagu berkenaan juga menyaksikan Asyraf bertindak sebagai penerbit eksekutif, manakala Video muzik juga sudah dirakamkan 17 November lalu arahan El Helmi Khir.

Lagu dan video muzik Bagaikan Mutiara telah dilancarkan pada 4 Disember lalu dan ia juga boleh distrim di platform digital terpilih. – KopiPlanet.com

The post Bagaikan Mutiara Raikan Memori Indah Usia Perkahwinan & Pengorbanan Tya Arifin appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.