Ads Top

#76 – Kenali Imam Bukhari, Tokoh Yang Membukukan Sahih Al-Bukhari

Apabila kita mempelajari ilmu hadis, pasti nama Imam Bukhari sudah tidak asing lagi dengan bidang ini kerana beliau merupakan salah seorang tokoh yang telah banyak meriwayatkan hadis sahih.

Nama sebenar beliau adalah Abu Abdullah Muhammad ibn Imail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Bardizbah.

Beliau terkenal sebagai al-Bukhari kerana gelaran kepada tempat kelahirannya, iaitu Bukhara yang merupakan sebuah kota di Uzbekistan.

Menurut catatan, beliau telah dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di Bukhara. Bapanya pula telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.

Beliau telah mula menghafal hadis sejak berumur kurang daripada 10 tahun. Ketika berumur 16 tahun, beliau telah berjaya menghafal beberapa buah kitab tulisan ulama seperti Ibnu Mubarak.

Kemudian, demi mendapatkan ilmu yang sahih dan keberkatan daripadanya, beliau sanggup berhijrah ke Makkah.

Beliau juga telah beberapa kali merantau ke Madinah, Baghdad dan Syam untuk mencari ilmu.

Berkat kegigihannya, beliau telah berjaya menulis beberapa kitab yang membincangkan mengenai perawi hadis yang sahih, daif dan sebagainya.

Beliau juga telah berguru dengan lebih daripada 1000 orang syeikh dan telah mengumpul sebanyak 600 000 buah hadis.

Antara gurunya adalah Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in dan Ishah bin Rahawaih.

Manakala, antara karya popular yang berjaya ditulis olehnya adalah al-Jami’ al Sahih al-Musnad al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi atau lebih dikenali sebagai Sahih Al-Bukhari.

Karya ini telah diberi nama yang cukup istimewa oleh beliau sendiri kerana kitab ini terinspirasi daripada hasrat gurunya, iaitu Ishak bin Rahawaih yang ingin menghimpunkan hadis-hadis sahih dalam sebuah buku.

Kesimpulan

Minatnya yang mendalam terhadap bidang hadis telah mendorong beliau sehingga mampu mempelajarinya dengan baik dan mengembangkannya dalam bentuk penulisan.

Buktinya, sehingga ke hari ini kita menggunakan kitab Sahih Al-Bukhari ini sebagai rujukan untuk mendalami bidang hadis yang sahih.

Beliau telah meninggal dunia pada hari Jumaat bertarikh 1 Syawal 256 Hijrah ketika berumur 62 tahun.

Rujukan:
Kajian Biografi Imam Al-Bukhari

The post #76 - Kenali Imam Bukhari, Tokoh Yang Membukukan Sahih Al-Bukhari first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.