Ads Top

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Manusia Yang Menjadi Pembuka Kebaikan

Selain daripada cita-cita anda untuk menjadi jurutera, guru, mahupun doktor, pernahkah anda berfikir apa impian anda kepada sekeliling?

Guru bagaimana yang anda ingin jadi? Atau jurutera bagaimana yang anda ingin gapai?

Memang, cita-cita itu adalah pekerjaan untuk anda mencari rezeki bagi menampung kehidupan diri dan keluarga. Namun, bagaimana dengan tampungan di ‘masa hadapan?’

Adakah kita sekadar bekerja untuk bekalan hidup? Lantas, bagaimana dengan bekalan di kehidupan yang akan datang?

Disebabkan itulah, kita dituntut untuk mencari bekalan di akhirat kelak walau dengan sekecil-kecil perkara.

Salah satunya adalah dengan menjadi aspirasi agar orang lain turut terkesan dan tergerak hati untuk melakukan kebaikan.

Jadilah guru yang bukan sekadar mengajar, namun mendidik. Mengajar itu mudah, tetapi tugas mendidik itu memerlukan jiwa yang besar.

Begitu juga dengan pekerjaan lain yang anda ceburi. Jika ingin menjadi peniaga, jadilah peniaga yang bukan sahaja ingin kaya dengan keuntungan, namun kaya dengan hati yang pemurah.

Dengan itu, kita sebenarnya telah menjadi pembuka pintu kebaikan yang mengajak kepada orang lain memasukinya.

Ada sebuah riwayat yang telah dinukilkan oleh Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda;

إنَّ منَ النَّاسِ مفاتيحَ للخيرِ، مغاليقَ للشَّرِّ، وإنَّ منَ النَّاسِ مفاتيحَ للشَّرِّ مغاليقَ للخيرِ، فَطوبى لمن جعلَ اللَّهُ مفاتيحَ الخيرِ على يدَيهِ، وويلٌ لمن جَعلَ اللَّهُ مفاتيحَ الشَّرِّ على يديهِ

Maksud: “Sesungguhnya, di antara manusia ada yang menjadi pembuka kebaikan dan penutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Berbahagialah orang-orang yang Allah jadikan sebagai pembuka kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang-orang yang Allah jadikan sebagai pembuka keburukan melalui tangannya.” (HR Ibnu Majah, no. 237. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Antara contoh yang kita lihat hari ini ialah ketokohan Ustaz Ebit Lew yang tidak dapat disangkal lagi telah membuka banyak ruang dan pintu kebaikan untuk kita melangkah.

Bukan itu sahaja, beliau telah menjadi aspirasi banyak orang yang ingin berusaha melakukan kebaikan sepertinya dengan memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Bukan beliau sahaja yang boleh membuka pintu kebaikan, tetapi semua orang juga boleh melakukannya.

Semoga kita semua mampu memberi manfaat kepada orang sekeliling.

The post Apa Yang Dimaksudkan Dengan Manusia Yang Menjadi Pembuka Kebaikan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.