Ads Top

Antara Tanda Akhir Zaman Ialah Masa Dirasakan Berlalu Begitu Pantas

Setiap dari kita mempunya 24 jam yang sama. Tempoh masa yang ada serta waktu untuk kita isi tidak berbeza.

Namun, sering kita dengar atau mungkin perkara ini pernah dilalui oleh kita sendiri, iaitu dirasakan waktu yang ada itu tidak cukup.

Kalau boleh, kita ingin tambah hari kita dengan tambahan dua jam atau tiga jam lagi agar kerja-kerja yang ada dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak bertangguh.

Namun, angan-angan itu tidak akan menjadi kenyataan. 24 jam yang telah Allah berikan kepada kita sebenarnya mencukupi untuk kita bekerja, berehat dan mentaati Allah.

Jika diberi tambahan waktu lagi, perkara yang sama pasti akan berulang juga; masa tetap akan dirasakan tidak mencukupi jika ia tidak dibahagi dengan baik.

Oleh itu, berhenti berharap pada benda yang tidak akan menjadi kenyataan dan aturlah strategi untuk mencukupkan waktu anda,

Adakah Hilangnya Keberkatan Masa

Ada ulama yang menyebut bahawa, perkara ini juga bergantung kepada keberkatan yang Allah berikan kepada kita.

Jika ia dipenuhi dengan perkara yang tidak sia-sia serta dihiasi dengan ketaatan kepada Allah SWT, nescaya perasaan tenang dan gembira dengan hari yang dilalui pasti akan dirasai.

Inilah yang akan menghilangkan perasaan-perasaan negatif seperti masa yang tidak cukup atau kerja-kerja yang dirasakan terlalu banyak bertangguh.

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ

Maksud: “Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlaku dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1036)

Imam Nawawi menyebut, masa dirasakan berlalu begitu pantas disebabkan keberkatannya yang telah hilang dalam kehidupan manusia kerana tidak banyak berfokus kepada akhirat.

Justeru, apabila terbitnya dalam hati tentang perasaan-perasaan seperti ini, cubalah untuk membaiki diri dengan muhasabah dan memperbanyakkan amalan.

Itu tidak bermaksud kita perlu berhenti daripada melakukan semua yang sedang ada, namun hiasilah rutin itu dengan lebih mengingat Allah.

Wallahu a’alam

The post Antara Tanda Akhir Zaman Ialah Masa Dirasakan Berlalu Begitu Pantas first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.