Adakah Kanak-Kanak Yang Mempunyai Pendapatan Wajib Membayar Zakat
Zakat pendapatan ialah hasil daripada semua jenis upah, bayaran atau bonus daripada kerja dan usahanya sama ada secara tetap mahupun sekali sahaja.
Terdapat empat jenis harta pendapatan yang dibahagikan, iaitu;
#1 – Zakat Harta Upah Dan Penggajian Kerja
Ia adalah hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya sama ada secara swasta mahupun kerajaan berdasarkan tempoh yang dipersetujui bersama.
Ia juga termasuk gaji, upah, bonus, peruntukan kerja lebih masa, pampasan, hadiah serta anugerah dan insentif.
#2 – Zakat Harta pemberian Atau Sumbangan
Zakat ini bukanlah daripada hasil pekerjaannya, namun ia berdasarkan pemberian yang diterima.
Sumbangan yang diterima adalah dalam bentuk harta zakawi (harta yang boleh dikenakan zakat). Sebagai contoh, harta pusaka, saguhati dan juga hibah.
#3 – Zakat Harta Kerja Bebas
Ia dikenakan ke atas hasil pekerjaannya yang dilakukan sendiri serta tiada kaitan dengan pihak lain.
Contohnya bayaran royalti atau komisyen yang diterima hasil dari penerbitan, pendapatan dari jualan insurans dan kerja-kerja freelance.
#4 – Zakat Harta Al-Mustaghallat
Ia adalah hasil daripada harta yang tidak diwajibkan zakat tetapi harta tersebut mendatangkan pulangan kepadanya.
Sebagai contoh, hasil daripada sewaan rumah, aset atau hasil yang dikeluarkan oleh binatang ternakan seperti susu dan telur.
Kanak-Kanak Yang Mempunyai Pendapatan
Zakat pendapatan wajib dikenakan ke atas individu yang mempunyai pendapatan yang layak dikenakan zakat ke atas harta tersebut (cukup haul dan nisab).
Jadi, jika kanak-kanak atau bayi yang telah mempunyai pendapatan, adakah diwajibkan ke atas mereka untuk menunaikan bayaran zakat?
Dalam hal ini, hukumnya adalah wajib, iaitu sama sahaja dengan golongan dewasa yang mempunyai pendapatan yang cukup haul dan nisab untuk mengeluarkan zakat.
Imam al-Mawardi menyebut melalui kitabnya tentang pandangan Imam Syafi’e, iaitu:
Maksud: “Zakat hukumnya wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk), pemiliknya yang merdeka (bukan hamba), meskipun anak kecil atau orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajipan berzakat.” (Al-Hawi Al-Kabir, 3:329)
Kita juga melihat bahawa lima syarat diwajibkan membayar zakat daripada hartanya tidak disebut mengenai had umur mahupun baligh.
#1 – Beragama Islam
#2 – Merdeka
#3 – Pemilikan penuh
#4 – Cukup nisab – Cukup kadar tertentu bagi hartanya dikenakan zakat
#5 – Sempurna haul – Cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib dikenakan zakat
#6 – Digembalakan – Syarat tambahan bagi zakat haiwan ternakan.
Kesimpulan
Justeru, kanak-kanak mahupun bayi yang belum baligh, tetap wajib ke atas mereka untuk menunaikan zakat harta pendapatan jika cukup haul dan nisab.
Maka, wajib bagi penjaga kanak-kanak itu untuk mengeluarkan zakat daripada harta anak tersebut. Sekiranya diabai atau ditangguh, maka dosa itu ditanggung oleh ibu bapa tersebut (selagi anak-anak tersebut belum sedar atau faham).
Baca juga:
11 Fakta Asas Zakat Pendapatan
Rujukan:
Zakat Selangor
The post Adakah Kanak-Kanak Yang Mempunyai Pendapatan Wajib Membayar Zakat first appeared on Tazkirah.
No comments: