Ads Top

Adakah Emas Yang Digadai Masih Wajib Dibayar Zakat

Selain daripada zakat fitrah yang wajib dibayar, ada pelbagai jenis zakat lagi yang perlu diketahui, antaranya ialah zakat emas.

Zakat emas dan perak merupakan zakat barangan kemas dan perhiasan wanita. Ia dikeluarkan ke atas emas yang telah cukup nisab dan haulnya sama ada emas itu dipakai atau disimpan.

Ulama menyebutkan bahawa terdapat dua kategori emas yang diwajibkan zakat, iaitu emas yang tidak dipakai dan yang diapakai.

#1 – Untuk emas yang tidak dipakai, ia bermaksud emas yang disimpan, tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun.

#2 – Untuk emas yang dijadikan perhiasan wanita pula merujuk kepada emas yang dipakai sama ada secara berkala atau berterusan dalam tempoh setahun.

Dalam kategori ini, tidak wajib mengeluarkan zakat ke atasnya selagi ia tidak melebihi uruf (had pemakaian setempat yang dibenarkan dan ia berbeza mengikut negeri).

Mafhum: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah At-Taubah, 9:34-35)

Namun, wujud persoalan, adakah emas yang digadai masih dikenakan zakat?

Pajak gadai merupakan bentuk pinjaman wang tunai ke atas barang gadaian bagi tempoh enam bulan dengan faedah 2%.

Aktiviti pajak gadai telah diluluskan di bawah Akta Pajak Gadai 1972 dan barang kemas merupakan antara pilihan utama untuk digadai.

Tempoh gadaian ialah selama enam bulan, tetapi gadaian juga boleh ditebus pada bila-bila masa. Sekiranya tidak dapat menebus gadaian, maka pemajak gadai boleh meminta untuk melanjutkan temph masa yang tidak kurang dari enam bulan.

Antara jenis emas yang diterima oleh pajak gadai ialah barang kemas solid (tanpa permata), gold bar, dinar atau syiling emas. Namun, ada juga sesetengah pajak gadai yang hanya menerima barang kemas sahaja yang tidak termasuk dinar dan syiling emas.

Perlukah Dibayar Zakat

Emas yang digadai di pajak gadai masih tidak terputus haul (waktu) dan wajib dizakatkan ke atas peratusan yang masih menjadi hak si penggadai.

Sebagai contoh; Aminah telah menggadai dua utas rantai emas seberat 50 gram dan diberikan pinjaman oleh ar-rahnu (pajak gadai) sekadar 70 peratus (iaitu 35 gram).

Maka, baki berat emas sebanyak 15 gram di ar-Rahnu masih dianggap sebagai miliknya yang sempurna. Justeru, wajib ke atasnya untuk dizakatkan emas tersebut.

Ia juga adalah dengan syarat ia perlu ditambah dengan lain-lain emas yang disimpan dan melebihi nisab, iaitu 85 gram.

Jadi, cara pengiraannya ialah emas yang tidak dipakai (disimpan di rumah) + baki emas di Pajak Gadai Ar-Rahnu (iaitu 75 gram + 15 gram = 90 gram).

Jadi, jumlah berat emas sebanyak 90 gram perlu dizakat kerana ia telah melebihi nisab 85 gram.

90 gram emas x Harga emas semasa x 2.5% = Zakat Emas yang perlu dibayar

Sumber dan Rujukan:
Faisal Rahim – Zakat Emas Yang Digadai
Zakat Emas
Apa Itu Pajak Gadai

The post Adakah Emas Yang Digadai Masih Wajib Dibayar Zakat first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.