Status Hadis Perut Itu Adalah Rumah Penyakit
Kita berada pada zaman yang mudah untuk mendapatkan semuanya. Jika tidak sempat memasak, maka boleh sahaja singgah di mana-mana kedai makan atau tempah sahaja dari mana-mana platform untuk mengisi kekosongan perut anda.
Namun, disebalik kemudahan yang ada itu tidak menggugurkan kewajipan kita sebagai pengguna untuk memilih makanan yang berkhasiat dan seimbang kerana ia adalah termasuk dalam hak kepada tubuh badan kita yang perlu dijaga.
Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Al-Miqdam bin Ma’dikarib RA, ia berkata bahawa Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada memenuhi perut keturunan Adam. Cukup keturunan Adam mengambil apa yang dapat menguatkan tulangnya. Jika ia adalah sesuatu yang perlu untuk diisi, maka satu pertiga makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2380. Dinilai hasan)
Ia menunjukkan bahawa setiap apa yang masuk ke dalam tubuh badan kita perlu diisi dengan pemakanan yang boleh membantu membekalkan tenaga dan khasiat agar badan akan sentiasa cergas.
Jangan makan secara semberono tanpa menitikberatkan halal dan haram serta khasiat kerana ia boleh mengundang permasalahan yang lebih besar kepada tubuh badan seperti penyakit berbahaya.
Ada sebuah hadis yang sering disebut apabila berbicara soal perut dan penyakit, iaitu – “Perut itu rumah penyakit.”
Walau bagaimanapun, jumhur ulama menyebut bahawa ia bukanlah hadis kerana Baginda SAW tidak pernah meriwayatkan perkara tersebut.
Al-Imam Al-Iraqi menyebut bahawa tiada asal terhadap terhadap dalil ini, manakala Imam Ibn Subki menyebut tiada sanad yang sahih terhadap dalil ini.
Namun, ia adalah sebuah kata-kata yang berasal daripada kalam al-Harith bin Abi Kaladah yang merupakan salah seorang ahli perubatan Arab. (Al-Kasyf al-Ilahi, 449)
Justeru, ulama berpendapat bahawa statusnya adalah kata-kata daripada tokoh perubatan sahaja dan bukan hadis yang diriwayatkan daripada Baginda SAW.
Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa setiap apa yang masuk ke dalam tubuh badan perlu dijaga dan dikawal kerana pemakanan merupakan sumber utama kepada kesihatan.
Jadi, titik beratkan apa yang anda makan untuk menjamin kesihatan yang lebih baik.
Sumber:
Dr. Ustaz Rozaimi Ramle
The post Status Hadis Perut Itu Adalah Rumah Penyakit first appeared on Tazkirah.
No comments: