Ads Top

Siapa Yang Memberi Nama Muhammad Kepada Rasulullah

Kita masih lagi berada dalam bulan Rabiul Awal, jadi sudah tentunya aura Maulidur Rasul masih ada.

Jadi, untuk entri kali ini, mari kita lihat siapa sebenarnya yang memberi nama Muhammad kepada Baginda SAW?

Sebelum itu, tahukah anda bahawa ada sebuah hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW digelar dengan lima nama, iaitu;

Maksud: “Aku mempunyai lima nama, iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah Al-‘Aqib (iaitu tiada lagi nabi selepasnya).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3532)

Melalui riwayat ini, kita faham bahawa selain daripada gelaran Muhammad, Baginda mempunyai beberapa nama lain lagi yang sering dijadikan panggilan oleh sekeliling. Namun, nama Muhammad dan Ahmad adalah yang terkenal dan sering disebut-sebut.

Berkenaan siapa yang menamakannya dengan nama Muhammad, beberapa dalil menunjukkan bahawa ia adalah daripada datuknya, iaitu Abdul Mutalib.

Ada beberapa sebab mengapa Baginda dinamakan demikian oleh datuknya. Antaranya ialah untuk mengharapkan pujian oleh Allah di langit dan juga manusia di bumi.

Perihal ini ada disebut dalam beberapa hadis sahih, antaranya daripada riwayat Ibnu ‘Abbas RA;

لما ولد النبي صلى الله عليه وسلم عق عنه عبد المطلب بكبش وسماه محمدا فقيل له يا أبا الحارث ما حملك على أن تسميه محمدا ولم تسمه باسم آبائه قال أردت أن يحمده الله عز وجل في السماء ويحمده الناس في الأرض

Maksud: “Apabila Nabi SAW dilahirkan, Abdul Mutalib telah melakukan akikah ke atas Baginda SAW dengan menyembelih kibasy dan menamakannya Muhammad. Ada yang bertanya kepadanya: “Wahai Abu Al-Harith, apakah yang menyebabkan engkau memberinya nama Muhammad dan bukan dengan nama nenek moyangmu?” Beliau menjawab: “Aku ingin agar Allah SWT memujinya di langit dan juga manusia memujinya di bumi.” (Tarikh Dimashq, 3/32)

Ibnu Katsir RA menyebutkan bahawa Allah SWT telah memberi ilham kepada keluarganya untuk menamakan Rasulullah dengan Muhammad kerana nama yang baik mampu memberi cerminan peribadi yang baik juga. (Bidayah wa Nihayah, 1:669)

Justeru, ulama berpendapat bahawa nama Muhammad diilhamkan kepada Abdul Mutalib untuk diberi kepada cucunya agar keturunannya itu menjadi orang yang terpuji bukan sahaja di dunia, bahkan juga di langit.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com

The post Siapa Yang Memberi Nama Muhammad Kepada Rasulullah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.