Nabila Razali Tidak Dapat Beraksi Di Pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 35
Hasrat penyanyi Nabila Razali untuk beraksi di pentas Muzik-Muzik tidak terlaksana berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh pengurusnya iaitu Ash, keputusan tersebut terpaksa dibuat atas nasihat doktor dan guru vokal, Datuk Syafinaz serta pencipta lagu Peluang Kedua iaitu Hael Husaini & MFMF.
“Dukacita saya ingin memaklumkan bahawa artis di bawah jagaan saya Nabila Razali tidak dapat membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM35) yang bakal berlangsung bermula malam ini atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.
“Keputusan ini dibuat atas nasihat doktor, guru vokal Datuk Syafinaz Selamat & juga komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini & MFMF. Pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk khidmat doktor pakar namun berehat dalam jangka masa yang panjang adalah jalan terbaik,” jelasnya.
Menurutnya, ia adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SFMM antara yang menjadi impian beliau sebagai penyanyi.
“Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu dengan Datuk Syafinaz sebagai persiapan awal. Namun masalah ini dikesan sejak minggu lalu dan menjadi semakin teruk,” ujarnya.
Jelasnya, Nabila sepatutnya menyanyikan lagu berkenaan pada malam Ahad, iaitu hari terakhir penganjuran SFMM.
“Pihak kami masih mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu ini. Sebarang perkembangan mengenainya akan diberitahu kemudian. Pihak produksi juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya. – KopiPlanet.com
The post Nabila Razali Tidak Dapat Beraksi Di Pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: