Ads Top

Mila Jirin Saran Kerajaan Pertimbang Pengeluaran Amaun Sesuai Duit KWSP

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu, setiap pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19 dibenarkan untuk membuat pengeluaran wang sebanyak RM500 sebulan menerusi Akaun 1 mereka.

Sebelum ini terdengar ura-ura daripada netizen yang mahukan pengeluaran secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000 bagi mereka untuk kembali bangkit akibat wabak Covid-19 yang telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan serta pengusaha perniagaan kebanyakannya hampir menutup bisnes mereka.

Menerusi laman Instagram, juara program Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin, 33, meminta kerajaan agar memperhalusi cadangan agar pencarum dapat mengeluarkan amaun bersesuaian agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan membuka perniagaan secara kecil-kecilan.

“Mereka (pencarum KWSP) minta duit KWSP mereka bukan untuk bersuka ria. Wahai kerajaan bantu mereka yang amat memerlukan.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya mencadangkan mereka yang nak keluarkan duit mereka ini ikut cara Moratorium contohnya bagi bukti memang pendapatan merosot, gaji dipotong dan diberhentikan kerja atau apa sahajalah yang difikirkan baik.

“Asalkan dapat bagi sedikit dana mungkin boleh dijadikan start up untuk mereka berniaga kecil-kecilan. Bantulah mereka wahai kerajaan, rakyat sedang susah…,” tulis Mila di Instagramnya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut melampirkan video seorang individu yang turut menggesa kerajaan agar memberi kelonggaran agar pencarum dapat mengeluarkan wang dalam jumlah yang munasabah agar dapat kembali ‘bernafas’ di masa-masa sukar ini.

Mila merupakan seorang usahawan yang mengusahakan perniagaan pengurusan perkahwinan dan katering. Selain itu, dia turut mempunyai gerai menjual buah durian. – KopiPlanet.com

The post Mila Jirin Saran Kerajaan Pertimbang Pengeluaran Amaun Sesuai Duit KWSP appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.