Maksud Ungkapan Hadis – ‘Bukan Sebahagian Dari Umatku’
Pernahkah anda mendengar ada beberapa dalil yang menyebut mengenai – ‘bukan sebahagian dari umatku?’
Ia ada disebut dalam beberapa hadis sahih yang membicarakan mengenai ancaman di atas perkara buruk yang dilakukan.
Sebagai contoh, ada sebuah hadis yang disebut mengenai ancaman orang yang menipu yang menunjukkan bahawa perbuatan itu adalah termasuk dalam perbuatan mazmumah (buruk).
Hadis ini ada diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ
Maksud: “Bukan termasuk sebahagian dari golonganku, orang yang menipu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3452)
Walau bagaimanapun, apa yang dimaksudkan dengan ungkapan ‘bukan termasuk sebahagian dari golonganku?’
Dalam hal ini, ulama berbeza pendapat, namun ada yang sepakat bahawa ia tidak termasuk dalam kalangan orang yang mengamalkan sunnah Baginda SAW.
Hal ini kerana, sunnah Rasulullah adalah menekankan perkara kebaikan. Sebaliknya, ancaman tersebut diberikan ke atas mereka yang melanggar sunnah dengan melakukan perkara-perkara yang mungkar (buruk).
Imam al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut bahawa – “Bukan sebahagian dari golonganku bermaksud bukan termasuk dalam keadaan orang yang mengamalkan ajaranku dan mengikut jalanku. Dan bukan maksudnya mengeluarkan pelakunya dari agama. Namun, manfaat adanya lafaz ini adalah dengan memperkeras celaan agar tidak terjerumus ke dalam larangan seperti itu.
Ada juga yang berkata, maksud kalimat ini adalah dia tidak berada di atas agamaku yang sempurna. Maka, dia telah meninggalkan salah satu cabang agama, meskipun ada sebahagian daripada prinsip Islam yang tetap ada dalam dirinya.” (Fathul Bari, 3/163)
Imam Ibn Hajar juga menambah bahawa ia adalah sebagai salah satu ancaman dan peringatan ke atas umat Islam untuk tidak melakukan perkara-perkara yang buruk dan yang dilarang dalam Islam.
Justeru, sentiasa beringat untuk tidak melakukan kemungkaran dan dengan mengamalkan perkara-perkara yang diredai Allah serta sunnahnya.
Wallahu a’alam
The post Maksud Ungkapan Hadis - 'Bukan Sebahagian Dari Umatku' first appeared on Tazkirah.
No comments: