Ads Top

Jaga Tali Persaudaraan Dengan Sama-Sama Cegah Kemungkaran

Mungkin anda pernah mendengar perkataan ‘kita semua bersaudara.’

Namun, apa maksud tersirat di sebalik perkataan tersebut? Adakah sekadar saudara kerana kita asalnya daripada manusia yang sama, iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa?

Ibnu Taimiyah menyebut bahawa Islam amat mengajar umatnya untuk menjalin hubungan persaudaraan dan melarang memutuskannya.

Kita dianjurkan untuk saling mencintai. Cinta itu bukan sahaja datang di antara dua insan atau terhadap ahli keluarga, namun ia meliputi perkara lain yang lebih luas.

Jika cinta, pasti kita inginkan yang terbaik buat insan yang dicintai. Salah satunya adalah dengan mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu sama-sama mengajak ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran.

Masakan kita ingin masuk syurga bersendirian? Pastinya kita ingin bersama-sama dengan orang yang dicintai. Oleh yang demikian, Islam amat menganjurkan perkara tersebut.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, Baginda SAW bersabda:

انْصُرْ أخاكَ ظالِمًا أوْ مَظْلُومًا فقالَ رَجُلٌ: يا رَسولَ اللَّهِ، أنْصُرُهُ إذا كانَ مَظْلُومًا، أفَرَأَيْتَ إذا كانَ ظالِمًا كيفَ أنْصُرُهُ؟ قالَ: تَحْجُزُهُ، أوْ تَمْنَعُهُ، مِنَ الظُّلْمِ فإنَّ ذلكَ نَصْرُهُ.

Maksud: “Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau yang dizalimi.” Kemudian, ada yang bertanya: “Wahai Rasulullah, aku menolongnya jika ia dizalimi. Tetapi bagaimana pula dengan orang yang berbuat zalim. Bagaimana aku boleh menolongnya?” Baginda bersabda: “Engkau mencegah atau menghalanginya dari tindakan zalim, bermaksud engkau telah menolongnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2444)

Melalui hadis ini disebutkan mengenai mencegah atau menghalang perbuatan yang buruk adalah termasuk dalam perbuatan menolong saudara kita.

Mencegah itu boleh dilakukan sama ada dengan kuasa yang ada, dengan lisan mahupun dengan hati.

Jika anda punya jawatan dan pangkat, maka tegurlah kesalahan itu dengannya melalui cara yang terbaik.

Jika anda tidak punya kekuatan atau keberanian, maka caranya adalah mencegah dengan hati, iaitu membenci perbuatan buruk dan mungkar tersebut.

Kesimpulan

Sekarang, kita berada di dunia yang dipenuhi dengan kemudahan teknologi; semuanya di hujung jari.

Jadi, dengannya anda boleh membantu menyampaikan dakwah dan mengukuhkan hubungan persaudaraan agar silaturahim itu sentiasa terjaga.

Wallahu a’alam

The post Jaga Tali Persaudaraan Dengan Sama-Sama Cegah Kemungkaran first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.