Ads Top

Hati-Hati Dengan Menguap Yang Boleh Membatalkan Solat

Menguap adalah sesuatu yang normal bagi manusia. Ia terjadi kerana aktiviti ini bertujuan untuk mengawal suhu otak. Ada yang mengatakan bahawa manusia menguap sama ada disebabkan keletihan atau mengantuk.

Namun, menurut kajian oleh Dr. Andrew C. Gallup dari State University of New York berkata, ketika menguap, regangan yang berlaku di sekitar rahang akan meningkatkan aliran darah di leher, muka dan kepala. Menarik nafas ketika menguap akan menggerakkan cairan tulang belakang dan darah dari otak ke bawah.

Udara sejuk yang disedut membantu menyejukkan cairan ini. Darah yang suhunya lebih rendah dari anggota badan dan organ lain seperti kaki, tangan dan paru-paru akan memasuki otak dan menyejukkan organ tersebut.

Disebabkan itu, seseorang yang sering keletihan dan mengantuk akan lebih kerap menguap kerana masalah ini akan menyebabkan kenaikan suhu pada otak.

Dalam Islam sendiri, menguap itu adalah fitrah dan keperluan manusia. Jika anda menguap yang menunjukkan tanda-tanda mengantuk, maka ambillah masa sebentar untuk berehat atau tidur bagi mengecas semula tenaga anda.

Sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Jika salah seorang daripada kalian mengantuk ketika solat, hendaklah dia tidur hingga dia mengetahui apa yang dibaca.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 213)

Bagaimana Jika Kerap Menguap Di Dalam Solat

Bagaimanapun, tidak semestinya menguap itu menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Ada juga yang disebabkan keletihan atau kerana tanda-tanda penyakit yang dialaminya.

Jadi, apabila dibawa ke dalam solat, adakah sah solatnya?

Dalam hal ini, ulama berpendapat bahawa menguap tidak membatalkan solat jika ia tidak mengganggu lisan dan perbuatan di dalamnya.

Jika menguap di dalam solat, tahanlah ia atau boleh menutup mulut dengannya. Sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan:

إِذَا تَثَاوَبَ أَحَدُكُمْ فِى الصَّلاَةِ فَلْيَكْظِمْ مَا اسْتَطَاعَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ

Maksud: “Jika salah seroang dari kalian menguap di dalam solat, maka tahanlah semampunya kerana sungguh, syaitan itu akan masuk.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2995)

Bila Menguap Boleh Membatalkan Solat

Menguap tidak membatalkan solat selagi ucapan dan perbuatannya tidak diganggu olehnya.

Adapun, jika menguap sehinggakan bacaannya rosak (membawa maksud yang berlainan atau salah), maka hukumnya adalah tidak sah.

Sebagaimana Imam Malik RA berkata:

Maksud: “Mulutnya ditutup dengan tangannya ketika solat sampai selesai menguap, Jika menguap ketika sedang membaca bacaan solat, kalau dia memahami apa yang dibaca, maka hukumnya makruh namun sudah mencukupi baginya (bacaan dia). Tetapi jika tidak memahaminya, maka dia harus mengulangi bacaanny. Kalau bacaan tersebut adalah Al-Fatihah, maka itu tidak mencukupi (tidak sah solatnya).” (Mawahibul Jalil Di Syarki Mukhtasar Asy-Syaikh Khalil, 11/308)

Imam Nawawi serta Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar RA berkata, jika seseorang itu menguap ketika sedang membaca bacaan dalam solat, maka perlu dihentikan bacaan tersebut.

Kemudian, sambunglah ia dari tempat yang sepatutnya. Dengan ini, ia tidak akan menjejaskan solat tersebut.

Kesimpulan

Justeru, menguap tidak membatalkan solat selagi mana ia tidak mengganggu ucapan dan perbuatan solat tersebut.

Adapun, jika mempunyai waktu terluang, maka lebih baik untuk berehat seketika bagi mengecas kembali tenaga sebelum menunaikan solat dan meneruskan pekerjaan lain.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Ustaz Asraff Ayobb – Menguap Ketika Solat
Science Daily – Yawning

The post Hati-Hati Dengan Menguap Yang Boleh Membatalkan Solat first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.