Ads Top

Fenomena Polar Night Di Norway, Bagaimana Penentuan Waktu Solat

Fenomena Polar Night telah kembali melanda kawasan Norway Utara bermula November 2020 sehingga awal Januari hadapan.

Ia adalah fenomena di mana waktu malam lebih lama berbanding siang yang hanya dirasakan oleh negara-negara yang terletak di bahagian Kutub Utara.

Ia berlaku di mana matahari tidak muncul lebih daripada 24 jam yang menjadikan waktu malamnya lebih lama dan kawasan mereka akan bergelap tanpa matahari.

Fenomena ini disebabkan keadaan paksi bumi yang condong dan dalam lingkaran polar.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing buat penduduk yang mengalaminya. Hal ini kerana, ia berlaku setiap tahun dan rata-rata dari mereka akan bersedia dengan pengambilan suplement untuk menjadikan tubuh badan mereka kekal aktif.

Bagaimana Dengan Penentuan Waktu Solat

Jadi, mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya bagaimana agaknya umat Islam di sana menentukan waktu solat?

Dalam hal ini, kita perlu tahu bahawa penetapan asal waktu solat adalah berdasarkan sumber Al-Quran dan Al-Sunnah.

Putaran bumi dan peredaran matahari adalah antara faktor penting dalam penentuan waktu solat.

#1 – Solat Zohor bermula ketika matahari tergelincir ke arah barat daripada kita, iaitu ketika pinggir timur matahari melintasi Meridian Samawi Tempatan.

#2 – Solat Asar bermula apabila panjang bayang sesuatu tiang melebihi panjang tiang tersebut.

#3 – Solat Maghrib pula bermula apabila tenggelam matahari sehingga hilang merah (syafaq) di sebelah barat.

#4 – Solat Isyak masuk apabila mega merah di ufuk barat hilang.

#5 – Solat Subuh bermula apabila naik cahaya putih (fajar sadiq) yang terpancar melintang di ufuk timur.

Waktu-waktu solat ini hanya terpakai ke atas tempat yang mempunyai waktu yang normal sahaja, iaitu 12 jam malam dan 12 jam siang.

Bagi tempat yang tidak normal seperti berlakunya fenomena polar night atau midnight sun (matahari tengah malam), maka di atas adalah tidak terpakai.

Dalam keadaan sebegini, umat Islam boleh menggunakan kaedah anggaran untuk penentuan permulaan waktu solat. Sebagaimana fatwa daripada Darul Ifta’ Mesir yang menyebut:

Maksud: “Negara-negara yang terjejas keseimbangan (waktunya) sehingga orang Islam sukar berpuasa di situ, maka negara tersebut perlu kembali kepada kaedah anggaran dan mengabaikan tanda-tanda yang dijadikan Allah sebagai sebab kewajipan melaksanakan hukum syarak berhubung puasa dan solat seperti terbit fajar, terbit matahari dan sebagainya.

Ini kerana sunnatullah dalam solat ini bahawa ia adalah selari dengan keadaan yang normal tanpa menjelaskan hukum apa yang keluar daripada keadaan yang normal itu.”

Asas kepada kaedah ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim, iaitu ketika para sahabat bertanya:

قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا لَبْثُهُ فِي الْأَرْضِ ؟ ، قَالَ : ” أَرْبَعُونَ يَوْمًا يَوْمٌ كَسَنَةٍ ، وَيَوْمٌ كَشَهْرٍ ، وَيَوْمٌ كَجُمُعَةٍ وَسَائِرُ أَيَّامِهِ كَأَيَّامِكُمْ “قلنا : يا رسول الله! فذلك اليوم الذي كسنة، أتكفينا فيه صلاة يوم؟ قال : لا؛ اقدروا له قدره.

Maksud: “Kami bertanya: “Wahai Rasulullah berapa lamakah ia (Dajjal) wujud di muka bumi ini?” Baginda menjawab: “Dajjal wujud di muka bumi selama 40 hari di mana sehari dirasakan panjang seperti setahun, kemudian sehari seperti sebulan dan sehari seperti sekali Jumaat dan kesemua harinya seperti hari yang biasa kamu lalui.”

“Kemudian, kami bertanya lagi, wahai Rasulullah pada hari di mana sehari sama dengan setahun itu, adakah memadai bagi kami mengerjakan solat sehari sahaja?” Baginda menjawab: “Tidak, sebaliknya buatlah anggaran waktu-waktu solat.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2937)

Bagaimana Menganggar Waktu Solat

Ada dua cara untuk mereka menganggarkan waktu solat, iaitu:

#1 – Menunaikan solat berdasarkan waktu solat di tempat atau negara yang normal (yang paling hampir dengannya)

#2 – Menunaikan solat berdasarkan waktu solat Mekah dan Madinah

Para ulama lebih bersetuju dengan cara yang kedua kerana Mekah disifatkan sebagai ummul Qura, iaitu negeri pusat yang sesuai untuk dijadikan rujukan.

Justeru, untuk melihat waktu solat, mereka boleh melihat kepada waktu Mekah dan Madinah sebagai rujukan. Adapun, tiada masalah untuk merujuk kepada negara yang terdekat seperti Turki untuk tujuan memudahkan lagi.

Ini juga bergantung kepada pengurusan hal ehwal umat Islam di sana.

Begitu juga dengan mengikut waktu berpuasa. Jika mengikut kepada waktu Mekah, maka mereka akan waktu berbuka dan bersahur mereka adalah sama dengan Mekah.

Wallahu a’alam

Sumber:
Norway Travel Guide – Polar Nights In Norway
Kajian Faktor Yang Mempengaruhi Penentuan Waktu Solat

The post Fenomena Polar Night Di Norway, Bagaimana Penentuan Waktu Solat first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.