Ads Top

Doa Yang Boleh Diamalkan Agar Aib Sentiasa Dilindungi

Kita berada pada zaman semua maklumat dan perkara boleh diakses di hujung jari. Sama ada maklumat itu adalah yang benar atau yang dibuat-buat, semuanya boleh diperoleh dengan mudah.

Begitu juga dengan tersebarnya sesuatu perkara yang juga boleh berlaku dengan mudah.

Setiap kelebihan yang ada pada zaman ini, pasti wujud juga kekurangannya. Disebabkan itu, sebagai manusia yang berakal, menjadi tugas kita sendiri untuk memilih yang baik dan meninggalkan yang buruk.

Dengan akal inilah yang akan memandu kita ke arah kebaikan dan membantu kita memilih perkara yang baik. Jangan menerima segala perkara atau berita yang kita dengar secara sewenang-wenangnya tanpa melihat kepada kesahihan perkara tersebut.

Semak dahulu setiap perkara yang anda dapat. Bahkan, jika perkara tersebut adalah fitnah atau bentuk umpatan, sebaiknya ditinggalkan. Jangan menokok tambah atau mengapi-apikan yang boleh menjadikan situasi semakin tegang.

Melalui kitab Adzkar menyebut – “Cara ghibah (umpatan) boleh jadi melalui lisan, tulisan, isyarat atau bermain isyarat dengan mata, tangan, kepala atau seperti itu.” (Al-Adzkar, hal. 579)

Jika perkara itu tidak benar atau tidak pasti, ia termasuk dalam bentuk umpatan walaupun di alam maya. Dan perkara inilah yang perlu dielakkan.

Jadi, salah satu usaha kecil yang boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada aib sendiri daripada tersebar adalah dengan membaca doa.

Ada sebuah doa yang telah diriwayatkan dari Abdullah bin ‘Umar yang mendengar bahawa Rasulullah SAW sentiasa membaca doa ini pada waktu pagi dan petang.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksud: “Ya Allah, aku memohon keselamatan dunia dan akhirat padaMu. Aku memohon ampunan dan keselamatan agama, dunia, keluarga dan hartaku. Tutuplah segala kekuranganku, tenangkanlah hatiku, jagalah depan, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung padaMu dari musibah yang tidak terduga.” (Hadis Riwayat Ibnu Hiban, no. 961)

Fitnah yang berlaku pada zaman sekarang amat dasyat kesannya ke atas kita serta sekeliling. Lebih menakutkan jika ia turut menyebabkan nama baik agama terpalit.

Oleh itu, jagalah diri sendiri agar keaiban dan maruah sendiri terjaga.

Sumber:
Bincang Syariah

The post Doa Yang Boleh Diamalkan Agar Aib Sentiasa Dilindungi first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.