#56 – 5 Tip Untuk Membina Daya Tahan Yang Tinggi
“Terus bertahan”
“Keep going strong”
Seringkali kita mendengar ayat ini sebagai respon untuk diri yang sedang diuji. Kadang-kadang, ia boleh bertindak sebagai pendorong semangat untuk bangkit semula selepas diuji dengan kesempitan hidup.
Ujian kehidupan adalah lumrah alam dan hadir dalam pelbagai bentuk sama ada kekecewaan, kegagalan mahupun kesakitan. Kemampuan umum yang melibatkan penyesuaian diri yang tinggi dan fleksibel saat berdepan dengan tekanan luaran mahupun dalaman dinamakan sebagai daya tahan atau resilien.
Daya tahan boleh dianalogikan sebagai shock absorber atau penyerap hentakan dalam sebuah kenderaan.
Tanpa penyerap hentakan ini, pemanduan akan jadi kurang selesa dan kenderaan sukar dikawal terutamanya apabila melewati permukaan jalan yang tidak rata dan berbonggol.
Hal yang sama juga berlaku dalam melalui perjalanan hidup. Tanpa penyerap hentakan atau daya tahan, hidup pasti menyakitkan. Oleh itu, daya tahan bertindak sebagai penyerap hentakan dalaman.
Dengannya manusia mampu meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan bahagia. Tanpanya, kita mudah marah dan tersentuh walau dalam sekecil-kecil perkara.
Bagaimana mahu membina daya tahan yang tinggi? Entri kali ini akan memfokuskan anda kepada beberapa tips untuk membina daya tahan bagi menjalani kehidupan yang penuh cabaran ini.
#1 – Ujian Itu Lumrah Kehidupan
Mengakui dan menerima hakikat bahawa kehidupan ini bukanlah padang nikmat semata-mata. Setiap daripada kita pasti akan berdepan dengan kesukaran yang menghimpit diri.
Dalam poses pembelajaran misalnya, untuk memahami dan menjadi mahir, anda perlu teruskan usaha untuk mengulangkaji dan menghafal segala fakta dan nombor yang ada.
#2 – Fokus Pada Yang Positif
Manusia itu sifatnya cenderung pada hal-hal yang negatif. Dalam ilmu psikologi, keadaan ini dinamakan negativity-bias. Ia bertindak untuk melindungi manusia daripada bahaya.
Bayangkan anda sedang berjalan dalam sebuah hutan, anda ternampak sekuntum bunga berwarna merah yang sangat menawan dan di sebalik bunga itu juga anda terlihat seekor harimau yang ganas. Otak akan terus mengesan bahaya dan anda bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.
Orang yang memiliki daya tahan yang tinggi sangat berhati-hati dalam menilai situasi, memilih untuk fokus pada yang positif dan baik-baik sahaja. Mereka tidak akan fokus pada yang negatif, sebaliknya hanya mengambilnya sebagai peringatan terhadap langkah yang diatur.
#3 – Membaiki Atau Menyakiti
Ketika bergelut dengan ujian, tanya pada diri, apakah pemikiran dan tindakan anda itu membantu anda untuk membaiki keadaan ataupun menambah lagi kesakitan? Adakah anda akan menjadi seorang yang mengawal situasi atau yang dikawal oleh situasi?
#4 – Akui Kelemahan Diri
Menjadi resilien (daya tahan) bermaksud anda juga ialah manusia biasa yang perlukan bantuan dan sokongan.
Terima dan akui kelemahan diri. Kongsikan masalah dan carilah bantuan ketika anda memerlukan.
Sebagai contoh, dapatan kajian menunjukkan hubungan kekeluargaan yang erat memainkan peranan yang sangat penting dalam membina daya tahan yang tinggi.
#5 – Menjadi Kuat
Menjadi kuat di sini bukanlah bermaksud kuat dari sudut fizikal tetapi kuat dari segi mental. Orang yang mentalnya kuat sangat tabah dalam menjalani kehidupan.
Paksa diri untuk sabar menghadapi ujian hidup. Barulah anda tahu keupayaan sebenar anda. Barangkali anda lebih kuat daripada apa yang anda sangkakan. Cari kekuatan itu agar anda boleh menemui daya tahan anda sebenarnya.
Kesimpulan
Dalam zaman yang tidak menentu ini, keupayaan untuk berhadapan dengan ujian serta cara fikir dan cara bertindak yang bijak adalah sangat penting. Resilien atau daya tahan bukanlah sesuatu yang luar biasa yang hanya dimiliki oleh golongan tertentu. Ia ada dalam diri kita.
Sebagaimana Firman Allah SWT,
Ertinya: Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri, dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (Surah Ar-Ra’d, 13:11).
“Resilience is all about being able to overcome the unexpected. Sustainability is about survival. The goal of resilience is to thrive”
Jamais Cascio
The post #56 - 5 Tip Untuk Membina Daya Tahan Yang Tinggi first appeared on Tazkirah.
No comments: