Ads Top

Zulin Aziz Tepis Dakwaan Dipanggil SPRM, Luah Sering Jadi Mangsa Fitnah

Sejak kebelakangan ini semakin hangat mengenai kisah beberapa selebriti yang telah dipanggil pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penggubahan haram yang melibatkan beberapa ahli perniagaan.

Terbaharu, nama pelakon dan pengacara Zulin Aziz atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz, 30, antara yang disebut-sebut netizen merupakan salah seorang selebriti yang turut dipanggil memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

Enggan terus difitnah, Zulin kemudian memuat naik beberapa entri di laman Instagramnya menjelaskan perkara tersebut bagi menutup mulut netizen yang gemar membuat andaian tanpa sebarang bukti kukuh.

“Apalah salah dosa aku? Korang fitnah aku bertubi-tubi, cakap memalukanlah, apalah. Selagi tak disebut nama, selagi itu netizen buat andaian dan fitnah aku.

“Di sini saya jelaskan, saya tidak pernah dipanggil untuk bantu siasatan oleh SPRM. Saya tidak ada kena mengena dengan sindiket itu malah tidak pernah menjalankan perniagaan dengan mereka.

“Dmagia, bisnes yang saya usahakan ini adalah kerjasama dengan syarikat sireh emas. Saya tidak pernah dipanggil daripada kes ini. Gambar saya disebarkan netizen hanya kerana saya mengenali mereka (suspek),” luah Zulin.

Menurut Zulin lagi, dia turut mengenali suspek yang pernah ditahan SPRM namun mereka hanya merupakan kenalannya sahaja.

“Saya memang suka berkawan dan melakukan hal yang sama dengan semua. Sesiapa sahaja yang berkawan dengan saya, saya masak untuk mereka, saya pergi ke majlis yang dijemput dan jika diajak bercuti, sekiranya ada kelapangan, saya pergi.

“Saya berani kerana benar. Saya mencari rezeki yang halal dengan meniaga, berlakon, buat review dan masak.

“Saya tidak pernah menayang kemewahan dan saya menjalani kehidupan serba sederhana. Saya harap dengan apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak buat anda berfikir dan berhenti fitnah saya makan duit haram,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, SPRM telah memberikan kenyataan bahawa dua selebriti bakal dipanggil oleh pihak mereka bagi membantu siasatan dan susulan itu, netizen membuat andaian bahawa individu tersebut merupakan Zulin walaupun tanpa sebarang bukti kukuh mengaitkan perkara itu dengan selebriti wanita tersebut. – KopiPlanet.com

The post Zulin Aziz Tepis Dakwaan Dipanggil SPRM, Luah Sering Jadi Mangsa Fitnah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.