Ads Top

Solat Tanpa Sejadah? Periksa Dahulu Perkara Ini

Kita berada di fasa COVID-19 yang semakin hari semakin membimbangkan kita semua. Banyak ekonomi yang telah terjejas begitu juga sektor yang menunjukkan impak dan kesan-kesannya.

Jadi, sebagai rakyat yang sentiasa prihatin, kita juga mempunyai bahagian untuk memainkan peranan bagi membantu membendung wabak ini.

Salah satunya adalah dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, jika anda menunaikan solat di tempat awam, bawalah keperluan solat anda sendiri. Elakkan berkongsi kerana kita tidak tahu dari mana partikel-partikel virus boleh datang.

Namun, jika terlupa membawa sejadah dan telekung, bagaimana? Bagi perempuan mahupun lelaki, asalkan sudah menutup aurat dengan sempurna, itu adalah tidak mengapa.

Tetapi, jika tiada sejadah mahupun kain yang boleh digunakan sebagai alas, adakah boleh sahaja menunaikan solat secara terus di atas lantai?

Menurut penjelasan daripada Mufti Wilayah, boleh dan hukumnya adalah harus untuk mendirikan solat di atas tanah atau lantai tanpa menggunakan alas atau sejadah.

Hal ini adalah berdasarkan daripada sebuah hadis yang telah diriwayatkan, iaitu;

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksud: “Aku (Rasulullah) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapa pun sebelum aku. (antaranya) Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 438)

Jadi, jika anda terlupa membawa sejadah atau kain sebagai alas, boleh sahaja untuk mendirikan solat tanpanya. Ia tidak mengganggu solat anda daripada terbatal atau makruh.

Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian

Walau bagaimanapun, ada perkara yang perlu dititkberatkan bagi mengelakkan ibadah itu terganggu dan juga untuk membantu menjaga kesihatan anda.

Apa kata, periksa perkara ini terlebih dahulu sebelum anda meneruskan solat;

#1 – Pastikan lantai itu bersih daripada najis dan kotoran – Antara syarat sah solat adalah tempat dan pakaian anda bersih daripada najis dan kotoran. Oleh itu, pastikan di atas lantai tempat yang bakal anda bersujud kelak, bersih.

#2 – Jangan solat di kawasan kubur dan tandas – Ia adalah antara tempat yang dilarang untuk menunaikan solat. Jadi, pastikan anda tidak bersolat di kawasan itu.

#3 – Pastikan lantai itu bersih untuk mengelak penyakit berjangkit – Kita sedang dilanda penyakit COVID-19. Oleh itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah kebersihan.

Sama ada pakaian mahupun tempat untuk anda solat, ia perlu diambil berat. Sapulah sedikit lantai itu (tempat anda bersujud) dengan tisu basah untuk membersihkannya.

Sekurang-kurangnya anda telah berusaha untuk mengambil langkah pencegahan sebelum bertawakkal kepada Allah.

Kesimpulan

Dalam usaha kita untuk menunaikan kewajipan, menjadi tanggungjawab kita sendiri juga untuk mencegah diri daripada terkena wabak penyakit ini.

Boleh sahaja untuk menunaikan solat tanpa sejadah dan alas, namun perlu dipastikan agar ia betul-betul bersih.

Untuk langkah yang terbaik, simpan satu sejadah poket atau alas di dalam beg anda untuk memudahkan anda dengan lebih bersedia jika terpaksa solat di luar atau kawasan awam.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Solat Tanpa Sejadah? Periksa Dahulu Perkara Ini first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.