Tips Untuk Pensyarah Kekalkan Keseronokan Mengajar Walau Atas Talian
Sebelum ini kita mendengar keluhan pelajar yang meluahkan perasaan mereka mengenai kepayahan dan halangan yang perlu ditempuhi semasa melalui sesi pembelajaran secara atas talian.
Ada yang berhempas pulas dengan capaian internet, ada yang masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan keluarga dan tempat belajar serta pelbagai lagi.
Dan kebanyakan pensyarah yang mendengar keluhan ini memahami mereka tanpa desakan serta memberi ruang kepada mahasiswa ini untuk menyesuaikan diri.
Namun, apa agaknya situasi yang pensyarah lalui? Jarang sekali kita mendengar mereka meluahkan di media sosial. Adakah ia disebabkan tiada masalah yang melanda mereka atau kerana ada pensyarah yang kurang arif menggunakan media sosial atau mereka memilih untuk menjadi kuat agar anak-anak mahasiswa tidak perlu risau apa-apa.
Pasti ada juga kegusaran yang mereka simpan tetapi perlahan-lahan juga mereka cuba untuk menyesuaikan diri, sama seperti mahasiswa ini.
“Adakah pelajar-pelajar ini faham topik yang aku sampaikan secara kelas online ini?”
“Teknik apa lagi yang boleh digunakan agar mereka mudah faham?”
Dan pelbagai lagi persoalan yang timbul di benak fikiran mereka. Maklum sahaja, belajar secara atas talian tidak sama dengan belajar bersemuka di dalam kelas.
Dan pensyarah juga merupakan manusia, sama seperti para pelajar. Kadang, timbul juga penat dan rungsing jika pelajar-pelajar tidak dapat apa yang diajar.
Jadi, entri kali ini akan berkongsi tips kepada pensyarah untuk kekal tenang dalam meneruskan sesi pembelajaran;
#1 – Guna Platform Yang Mudah Diakses
Pastikan platform yang digunakan mudah diakses oleh semua ahli kelas anda. Periksa tahap capaian internet masing-masing agar tidak timbul masalah kelak.
#2 – Pastikan Wujud Komunikasi Dua Hala
Anggap pembelajaran secara atas talian sama seperti di dalam kelas. Wujudkan komunikasi dua hala dan galakkan pelajar anda bertanya soalan.
Dengan itu, pembelajaran tidaklah kelihatan bosan dan boleh membantu pelajar kekal fokus.
#3 – Lakukan Aktiviti Bersama Pelajar
Walaupun tidak bersemuka di dalam kelas, tetapi itu tidak menghalang daripada anda untuk tidak berseronok semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Boleh sahaja melakukan kuiz atau soalan-soalan ringkas kepada pelajar anda agar mereka juga boleh merasai keseronokan.
Tetapi, perlu dipastikan mereka boleh mengambil bahagian dalam aktiviti ini kerana bimbang tiba-tiba ada yang loading akibat capaian internet yang lemah.
#4 – Sekali-Sekala Bagi Ruang Kepada Diri Anda Untuk Rehat
Sekali-sekala, anda perlu berehat daripada kelas, tetapi itu tidak bermakna anda boleh melepaskan tanggungjawab. Beri tugasan ringkas kepada mereka atau pendekkan waktu kelas, itu juga memadai.
Asalkan tugasan itu bersesuaian dengan nilai waktu dan markah yang diberikan.
#5 – Berehat Dan Lakukan Aktiviti Ringkas Selepas Kelas
Selepas setiap kelas, lakukan aktiviti ringkas untuk menghilangkan kepenatan anda. Terutamanya kepenatan mata memandang skrin terlalu lama.
Anda boleh gunakan ruang ini untuk melakukan senaman ringkas atau melakukan teknik deep-breathing.
#6 – Komunikasi Juga Dengan Rakan-Rakan Pensyarah Anda
Jika anda ditugaskan berada di rumah, tidak semestinya anda tidak boleh berkomunikasi dengan rakan pensyarah anda.
Sekali-sekala, tanya perkembangan rakan-rakan anda dan dalam masa yang sama, bolehlah kalian bertukar-tukar teknik pengajaran.
Kesimpulan
Pensyarah merupakan tunjang utama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi, anda perlu sentiasa berusaha kekalkan momentum untuk mengajar agar dapat memberi semangat kepada pelajar-pelajar anda juga.
The post Tips Untuk Pensyarah Kekalkan Keseronokan Mengajar Walau Atas Talian first appeared on Tazkirah.
No comments: