Peranan Keluarga Ketika Mahasiswa Bergelut Dengan Kelas Atas Talian
Pandemik COVID-19 memberikan kesan yang buruk bukan sahaja kepada kesihatan tetapi termasuklah pendidikan, ekonomi, kewangan dan kebanyakan sektor lain lagi.
Sejak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada Mac lalu, kaedah secara atas talian telah diguna pakai sama ada dalam kalangan mereka yang bekerja mahupun para pelajar.
Pada awalnya, banyak masalah yang timbul seperti masalah capaian internet, aplikasi mesyuarat yang tidak sesuai serta produktiviti juga berkurang.
Namun, lama-kelamaan perkara ini boleh disesuaikan sehinggalah keadaan hampir pulih. Tetapi, ada dalam kalangan mahasiswa yang masih menggunakan kaedah belajar secara atas talian kerana pihak universiti yang mengambil keputusan untuk mengurangkan risiko jangkitan ini.
Antara masalah yang masih menjadi perbualan dalam kalangan pelajar ialah suasana belajar yang kurang kondusif.
Ada di antara mereka yang tersepit di antara tanggungjawab sebagai pelajar dan anak. Dalam hal ini, bukan pelajar sahaja yang perlu memainkan peranan untuk menjayakan sesi pembelajaran di atas talian tetapi semua pihak termasuklah keluarga.
Apa peranan yang ibu bapa dan ahli keluarga lain perlu berikan? Ada beberapa tips yang boleh diikuti, iaitu;
#1 – Ambil Tahu Jadual Kelas Anak-Anak
Tunjukkan perhatian anda dengan mengambil tahu jadual kelas mereka serta jadual waktu perbincangan kumpulan mereka.
Itu boleh membantu anda untuk tidak mengganggu mereka apabila sedang dalam kelas atau menyiapkan tugasan.
Semakin kurang gangguan, maka mereka boleh menyiapkan tugasan dengan cepat dan boleh membantu melakukan kerja rumah pula.
#2 – Bergilir-Gilir Dengan Mereka Dalam Aktiviti Rumah
Jika sebelum ini anak anda ditugaskan untuk melakukan kerja rumah seperti memasak atau mengemas, apa kata kali ini cuba bertoleransi dengan mereka dengan amalkan konsep bergilir-gilir.
Bukan setiap hari jadual kelas mereka padat. Ada hari yang lengang dan ada hari yang memerlukan masa yang panjang untuknya.
Jadi, lakukan kerja rumah secara bergilir-gilir. Anda boleh meminta anak-anak yang lain untuk membantu melakukan kerja-kerja rumah juga.
#3 – Ambil Tahu Keadaan Semasa
Tidak mengganggu mereka sewaktu kelas tidak semestinya anda tidak boleh mengambil tahu urusan mereka.
Cuba untuk fahami keadaan dan kepayahan yang mereka alami dengan komunikasi. Remaja memerlukan kawan untuk meluahkan apa yang dirasai dan memahami mereka.
Justeru, cubalah menjadi kawan mereka dengan mengambil tahu perihal mereka sentiasa.
#4 – Bantu Mereka Sediakan Keperluan
Antara alat yang paling penting ialah capaian internet. Namun, tidak semua tempat mempunyai capaian yang baik.
Jadi, anda perlu faham jika mereka meminta izin untuk belajar di kawasan lain atau menggunakan ruang rumah demi mendapatkan capaian yang bagus.
Bantu mereka berdasarkan kemampuan anda.
#5 – Tegur Dengan Cara Terbaik
Kadang-kadang, apabila anak-anak terlalu fokus dengan kelas, mereka akan terlepas pandang akan tugasan yang anda berikan atau kurang memberikan perhatian kepada keluarga.
Itu tidak bermaksud mereka mengabaikan tanggungjawab sebagai anak. Jangan menghukum mereka secara melulu. Tanya dan tegurlah dengan cara yang terbaik.
#6 – Bantu Kurangkan Gangguan Dari Ahli Keluarga
Jika rumah itu mempunyai bilangan ahli yang ramai; biasanya mempunyai anak-anak kecil, nasihati mereka untuk tidak mengganggu si abang atau kakak yang sedang mengikuti kelas.
Kesimpulan
Keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan dan perkembangan anak-anak.
Ambil tahu akan perkembangan mereka dan cuba untuk memahami apa yang sedang mereka lalui.
Tiada anak yang ingin mengabaikan tanggungjawab sebagai anak, namun mereka juga perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar dengan baik.
Jadi, dalam situasi ini, masing-masing perlu memainkan peranan dengan bertoleransi dan saling bertolak-ansur.
The post Peranan Keluarga Ketika Mahasiswa Bergelut Dengan Kelas Atas Talian first appeared on Tazkirah.
No comments: