Ads Top

Mana Lebih Utama, Bayar Hutang Atau Beri Nafkah?

Hutang dan nafkah, dua perkara yang perlu dilangsaikan kerana ia termasuk dalam melaksanakan hak kepada manusia.

Kita mengetahui tentang perihal hutang, jika ada berhutang dengan manusia, maka ia perlu dibayar dengan nilai dan jumlah yang sama dalam tempoh masa yang ditentukan.

Hukum melangsaikannya adalah wajib, bahkan disebut dalam Al-Quran tentang perihal hutang dengan panjang lebar agar manusia sentiasa beringat bahawa ia bukanlah perkara yang boleh diambil ringan.

Berkenaan nafkah pula, ia adalah perbelanjaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya.

Ia perlu diberi berdasarkan kemampuannya sendiri. Jangan sampai membebankan diri sendiri akibat ingin kelihatan mewah sedangkan diri tidak mampu.

Namun, ada dalam kalangan kita yang tersepit dengan beban hutang dan bayaran nafkah. Mana satu yang perlu diutamakan?

Setiap kali dapat gaji atau bayaran bagi pekerjaan yang dilakukan, pasti insan tersebut akan berfikir-fikir sama anda hendak menjelaskan hutangnya terlebih dahulu atau memberikan nafkah buat keluarganya.

Dalam hal ini, Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan bahawa ia perlu dilihat kepada situasi.

Hutang termasuk dalam dua kategori, iaitu hutang yang perlu dilangsaikan segera dan juga yang diberi tempoh waktunya.

Jika tempoh waktunya masih lambat seperti hutang wang belajar, maka boleh melangsaikannya dan dalam masa yang sama menunaikan nafkah kepada ahli keluarga.

Dalam situasi ini, penghutang perlu bijak menguruskan wang agar kedua-duanya dapat dipenuhi.

Tetapi, jika hutang itu yang perlu dilangsaikan segera, ia wajib dilangsaikan dahulu, namun tidak boleh mengabaikan nafkah terhadap keluarga.

Jadi, perlu ke atas insan tersebut untuk bijak dalam menguruskan wang serta keperluan rumah.

Anda boleh memberikan nafkah mengikut kadar kemampuan yang ada. Pastikan ahli keluarga anda tidak terabai dari segi keperluannya.

Mafhum: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).”(Surah At-Talaq, 65:7)

Islam juga telah menyediakan talian hayat untuk membantu mereka yang berada dalam keadaan tidak mampu melalui sistem zakat.

Jadi, untuk melangsaikan hutang yang terdesak, boleh dicuba untuk memohon pertolongan daripada pihak zakat juga.

Kesimpulan

Jadi, dapat difahami di sini bahawa, dalam hutang dan nafkah itu adalah dua perkara yang wajib dilangsaikan.

Wajib untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga ke atas keperluan mereka berdasarkan kemampuan anda dan dalam masa yang sama berusaha untuk membayar hutang.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Mana Lebih Utama, Bayar Hutang Atau Beri Nafkah? first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.