Ads Top

Apa Hukum Isteri Membayar Zakat Kepada Suaminya

Jika seseorang ingin membayar zakat sendiri tanpa melibatkan amil (orang yang diberi kuasa untuk memungut zakat), mereka perlulah merujuk dan memaklumkan terlebih dahulu kepada amil yang dilantik.

Jumlah zakat yang ingin ditunaikan pula adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh Islami.

Walau bagaimanapun, agihan zakat akan menjadi lebih sistematik dan menyeluruh jika ia dilakukan menerusi institusi amil seperti Baitulmal atau pihak berkuasa zakat negeri.

Pandangan ini dipersetujui oleh beberapa ulama’ lain seperti Syeikh Abd Wahhab Khallaf, Syeikh Abd Rahman Hassan dan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah.

Adapun, jika situasi rumah tangga di mana suami merupakan salah seorang penerima zakat manakala isterinya adalah seorang pembayar zakat; adakah dibolehkan untuk isteri membayar terus zakat kepada suaminya?

Dalam hal ini, terdapat beberapa khilaf yang dibahaskan ulama. Antaranya;

#1 – Ulama Yang Melarang

Ulama dari Imam Abu Hanifah dan sebahagian daripada Mazhab Maliki tidak membenarkannya.

Hujahnya ialah ia tidak mencapai tujuan zakat tersebut, iaitu tanggungjawab suami adalah memberi nafkah kepada isterinya. Jadi, sudah pasti manfaat zakat tersebut akan dapat kepada isterinya kembali. (Kitab Al-Mabsuth, 2:149, al-Kafi Li Ibn Qudamah, 1:429)

#2 – Ulama Yang Membenarkan

Sebahagian ulama termasuk dari ulama Syafi’eyyah menyebut bahawa perbuatan ini dibolehkan. Namun, ada syarat yang perlu diikuti, iaitu wang zakat itu tidak boleh digunakan sebagai nafkah kepada isterinya.

Ia hendaklah digunakan sebagai wang keperluan dirinya sahaja dan hal ini ada disebutkan oleh Ibn Abi Zaid al-Qayrawani al-Maliki;

Maksud: “Jika sekiranya wang zakat tersebut digunakan untuk membantunya memberi nafkah kepada isteri (yang memberi zakat tersebut), maka ia adalah tidak sah. Manakala, jika sekiranya dia mempuyai harta untuk memberi nafkah kepada isterinya dalam keadaan seorang yang fakir dan dia menggunakan wang zakat tersebut untuk membeli pakaian atau untuk keperluan dirinya, maka sah hukumnya.” (Al-Nawadhir wa al-Ziyaadat, 2:295)

Pernyataan itu menunjukkan bahawa jika wang zakat itu tidak digunakan untuk memberi nafkah kepada isterinya, boleh sahaja. Namun, ulama dari mazhab Maliki mengambil keputusan melarang kerana bimbang jika wang yang sama (zakat) diberi kepada isteri.

Tetapi, jumhur ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah harus untuk isteri membayar zakat kepada suaminya dan ulama Syafi’e pula mengatakan bahawa hukumnya adalah sunat.

Perkara ini juga adalah berdasarkan kepada sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA tentang pertanyaan Zainab kepada Baginda SAW;

Maksud: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya pada hari ini kamu telah menyuruh kami untuk membayar zakat dan aku memiliki barang perhiasan yang aku ingin bayarkan zakatnya. Lalu, ibnu Mas’ud mendakwa bahawa dia dan anaknya lebih berhak aku berikan zakat kepada mereka.”

Lalu, Baginda SAW bersabda: “Benar. Ibnu Mas’ud dan anakmu lebih berhak menerima sedekah yang ingin engkau lakukan itu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1462)

Kesimpulan

Justeru, dapat difahami di sini bahawa harus hukumnya jika isteri membayar zakat kepada suaminya yang tergolong dalam golongan yang layak menerima zakat.

Dengan syarat, wang zakat tersebut digunakan hanya untuk keperluan dirinya (suami) dan bukan untuk nafkah isteri serta tanggungannya sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Munzir al-Naisaburi;

Maksud: “Dan para ulama bersepakat bahawa zakat tidak boleh diberikan kepada kedua-dua ibu bapa dan anak dalam keadaan pembayar zakat tersebut wajib memberikan nafkah kepada mereka.” (Kitab al-Ijma’: 48)

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
PPZ – Soalan Lazim Zakat

The post Apa Hukum Isteri Membayar Zakat Kepada Suaminya first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.