3 Sebab Mengapa Kita Perlu Berselawat Ke Atas Rasulullah
Mengapa kita perlu berselawat kepada Rasulullah SAW? Pernahkah anda tanya soalan ini kepada diri anda atau mungkin anda pernah diajukan soalan sedemikian?
Selawat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, tidak perlu menunggu sehingga wujudnya hari-hari tertentu seperti hari Jumaat atau Maulidur Rasul.
Namun, apabila tibanya hari-hari istimewa seperti yang disebutkan, kita dianjurkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW.
Apabila melihat kepada maksud selawat, ia adalah salah satu bentuk doa dan zikir yang diungkapkan kepada Rasulullah SAW.
اَللَّÙ‡ُÙ…َّ صَÙ„ِّÙ‰ عَÙ„َÙ‰ Ù…ُØَÙ…َّدٍٍ، ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِÙ‡ِ Ù…ُØَÙ…َّدٍٍ
“Ya Allah, limpahkanlah kesejahteraan kepada Nabi Muhammad dan keluarganya.”
Mengapa kita perlu mendoakan Baginda sedangkan kita tahu bahawa kedudukan Baginda di sisi Allah sangat mulia dan disanjung tinggi?
Entri kali ini akan merungkaikan kepada anda beberapa hakikat selawat yang boleh diambil perhatian;
#1 – Menjadikan Umat Yang Dekat Dengan Rasulullah
Selawat mampu menyucikan jiwa kita untuk sentiasa dekat dengan Baginda SAW. Bukan itu sahaja, disebutkan dalam beberapa hadis bahawa orang yang paling banyak berselawat ke atas Baginda SAW akan berada pada kedudukan yang hampir dengannya.
Dari Abu Umamah RA, Nabi SAW pernah bersabda:
Maksud: “Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya, selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam syurga).” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, no. 5995)
#2 – Allah Dan Malaikat Juga Berselawat Ke Atas Rasulullah
Sering kita dengar mengenai dalil Allah dan malaikat berselawat ke atas Baginda, namun apa yang dimaksudkan dengannya?
Selawat dari Allah untuk nabi adalah sebuah sanjungan yang Allah berikan, manakala selawat dari malaikat ke atas nabi maksudnya dalam bentuk doa.
Maksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzab, 33:56)
#3 – Allah Berselawat Kepada Hamba
Ada sebuah dalil yang menyebut bahawa, Allah akan berselawat sebanyak sepuluh kali buat tiap satu selawat yang diucapkan oleh hambaNya.
Maksud: “Barangsiapa yang berselawat kepada aku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 408)
Erti selawat di sini ialah Allah melimpahkan rahmat ke atas hamba yang sentiasa membasahi lidahnya dengan selawat ke atas Baginda SAW.
Rahmat yang dimaksudkan di sini juga adalah dalam bentuk pahala serta kasih sayang Allah kepada hambaNya.
Kesimpulan
Sebagai umat yang sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan dekat dengan Rasulullah SAW, perbanyakkanlah selawat ke atas Baginda agar setiap kelebihan dan manfaat itu sampai kepada kita jua.
Tidak rugi berselawat kerana banyak kelebihan yang akan diperoleh selain daripada mendapat rahmat yang tidak terhingga di sisi Allah, siapa tahu suatu hari kelak kita akan berpeluang untuk lebih dekat dengan Rasulullah SAW.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post 3 Sebab Mengapa Kita Perlu Berselawat Ke Atas Rasulullah first appeared on Tazkirah.
No comments: