2 Jenis Sifat Munafik Yang Disebutkan
Munafik merupakan perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab dan ia membawa maksud menyembunyikan perkara yang benar.
Seseorang itu tidak menzahirkan kekufuran tetapi dia cenderung menyembunyikan di dalam hati dan pada masa yang sama dia akan menzahirkan keimanannya namun dalam keadaan berpura-pura.
Ada dua jenis munafik yang disebutkan, iaitu:
#1 – Munafik Secara I’tiqad
Munafik ini adalah orang yang berpura-pura mengaku bahawa dirinya beriman dan masuk Islam sedangkan hatinya tidak.
Contoh sifat-sifatnya ialah mendustakan Allah dan RasulNya, membenci ajaran Baginda SAW, memecahbelahkan agama Islam dan menolak ajaran Rasulullah SAW.
Perkara ini dapat dilihat berdasarkan kisah pada zaman Baginda SAW di mana ada seorang ketua munafik yang sering berusaha untuk memecah-belahkan Islam.
Beliau ialah ‘Abdullah bin Ubay. Pada zahirnya, beliau menunjukkan ciri-ciri orang beriman. Namun, di belakang Baginda SAW, beliau sering menghasut orang lain untuk membenci Islam.
#2 – Munafik Dalam Amalan
Ia juga disebut sebagai munafik dalam sifat lahiriyyah. Perbuatan ini tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam.
Sebagai contoh, apabila si fulan berada dalam kelompok orang yang soleh, beliau juga turut menunjukkan perbuatan dan amalan yang soleh. Namun, apabila beliau duduk bersendiri atau di kelompok yang berbeza, dirinya tidak melakukan perbuatan soleh tersebut.
Ulama juga menyebut bahawa jenis munafik ini adalah apabila seseorang itu masih lagi mempercayai Allah dan rasul serta akidahnya masih elok tetapi amalannya sahaja yang menjurus kepada melakukan dosa-dosa besar.
Sebagaimana ada sebuah hadis yang disebutkan dari ‘Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksud: “Ada empat tanda seseorang itu memiliki sifat kemunafikan. Jika ia memiliki salah satuya, maka dirinya ada sifat tersebut; Apabila diberi amanah, dia akan mengkhianatinya, apabila berbicara dia akan berdusta, apabila berjanji tidak akan dipenuhi dan apabila berselisih, dia akan berbuat kezaliman.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 58)
Kesimpulan
Kedua-dua sifat munafik ini adalah buruk dan perlu dielakkan. Sentiasa menjaga diri daripada timbulnya sifat-sifat seperti ini kerana ia adalah perkara yang dibenci Allah.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
The post 2 Jenis Sifat Munafik Yang Disebutkan first appeared on Tazkirah.
No comments: