Status Hadis – Benarkah Berfikir Sesaat Lebih Baik Daripada Ibadah 60 Tahun
Berfikir adalah hal yang tidak dapat diasingkan daripada seorang manusia. Manusia yang sihat akalnya akan sentiasa melalui proses berfikir. Namun berfikir juga ada bahagian baik dan buruknya.
Apabila proses berfikir itu adalah dalam usaha mengagungkan Allah, membawa kita lebih dekat denganNya, dan mendatangkan kebaikan dalam hidup, maka itulah fikir yang terpuji.
Orang yang berfikir dan menggunakan kemahiran berfikirnya buat mencari ilmu agama turut dipandang tinggi berbanding orang yang beribadah tanpa ilmu. Sehingga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan seorang alim (ilmuwan) dari seorang abid (ahli ibadah) seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian, ” kemudian baginda melanjutkan sabdanya: “Sesungguhnya Allah, MalaikatNya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan paus, mereka akan mendoakan untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR Tirmizi, no.2609)
Maksud hadis ini adalah kedudukan orang berilmu yang beramal adalah lebih baik berbanding seorang ahli ibadah yang tidak berilmu. Ada juga khabar yang menyebutkan bahawa orang yang berfikir sesaat adalah lebih baik daripada orang yang beribadah 60 tahun.
فِكْرَةُ سَاعَةٍ خَيْرٌ مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ سَنَةً
“Berfikir sesaat lebih baik dari pada beribadah 60 tahun”
Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa hadis di atas adalah hadis palsu kerana di dalamnya ada dua orang perawi yang dikenali suka berdusta dan memalsukan hadis. Malah Ali Al-Qori ketika menyebutkan hadis ini, beliau mengatakan bahawa ia bukan hadis.
Sungguhpun tidak dinafikan bahawa kelebihan berfikir adalah sangat besar, namun hadis palsu di atas tidak boleh dijadikan sandaran. Proses berfikir dalam usaha mencari ilmu serta beribadah perlulah diseimbangkan. Orang yang beribadah perlulah dengan ilmu manakala orang yang mempunyai ilmu juga perlu mengamalkan.
Rujukan:
The post Status Hadis - Benarkah Berfikir Sesaat Lebih Baik Daripada Ibadah 60 Tahun first appeared on Tazkirah.
No comments: