Ads Top

3 Perkara Mudah Yang Boleh Diamalkan Untuk Menjemput Rezeki

Dulu, semasa masih berada di zaman universiti, sering saya mendengar ucapan daripada kawan-kawan yang membuat pinjaman PTPTN mahupun yang mendapat biasiswa berkata:

“Bila duit masuk je boleh merasa makan mewah-mewah sekali, lepas tu, akhir bulan kita makan maggi.”

Ada juga yang akan menjawab: “Tak apa. 4 tahun je pengalaman ni. Nanti dah kerja bolehlah merasa pegang duit sendiri dan bermewah sedikit.”

Sekarang, apabila sudah bekerja, masih ada pula keluhan lain yang berbunyi: “Dah kerja pun masih merasa makan maggi bila tibanya hujung bulan.”

Perkara ini adalah hakikat yang betul-betul terjadi dalam kalangan kita. Ada sahaja kawan-kawan kita yang terpaksa catu duit gajinya dan berlapar apabila tiba hujung bulan.

Semua itu mungkin disebabkan oleh beberapa perkara, sama ada kerana gajinya yang hanya cukup-cukup untuk komitmen yang perlu ditanggung atau dia sendiri merupakan insan yang boros dan kurang mahir untuk berjimat cermat.

Namun, ada beberapa amalan yang boleh diamalkan agar Allah sentiasa mempermudahkan urusan kita dalam mencari rezeki dan supaya rezeki kita diluaskan seluas langitNya.

#1 – Istighfar

Istighfar ini bukan sahaja untuk meminta agar Allah mengampuni dosa dan menghilangkan titik-titik hitam di hati, namun ada banyak sangat kelebihan di sebaliknya.

Salah satunya adalah untuk menjemput rezeki. Sebagaimana ada nasihat yang diberikan oleh Imam Hassan Al-Basri, iaitu:

“Sesungguhnya seseorang pernah mengadu kepada Imam Hassan mengenai kekurangan makanan yang terjadi. Lalu beliau menjawab: “Beristighfarlah kepada Allah”

Kemudian, beliau didatangi lagi dengan seorang yang mengadu mengenai kemiskinannya. Lalu, Imam Hassan menjawab: “Beristighfarlah kepada Allah.”

Sama juga, ketika ada beberapa lagi orang yang bertanya kepadanya mengenai kebunnya yang ditimpa kekeringan dan ada yang tidak dikurniakan anak. Beliau menyuruh setiap dari mereka untuk beristighfar.

Beliau kemudian membacakan surah Nuh yang membawa maksud bahawa istighfar itu adalah salah satu amalan yang boleh memanggil rezeki.

Mafhum: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada tuhan kamu, sesungguhnya Ia adalah yang Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, 71:10-12)

#2 – Menyambung Silaturrahim

Menjaga tali hubungan yang sedia ada yang menyambung tali silaturrahim sama ada sesama hubungan kerabat mahupun dengan rakan taulan daripada putus.

Kenapa perlu menjaga hubungan baik sesama insan? Salah satu sebabnya adalah kerana Allah akan melimpahkan keberkatan kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

Keberkatan inilah yanag akan membuatkan kita sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada dan apabila kecukupan itu hadir, allah akan limpahkan lagi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Sebagaimana dalam sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda;

Maksud: “Sesiapa yang suka dilapangkan resekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menyambung silaturrahim.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5985)

#3 – Elakkan Melakukan Perkara Yang Haram

Walaupun kadang-kadang kita merasa sempit dengan rezeki dan wujud persoalan mengapa semua ini menimpa diri sendiri, namun jangan sampai menjadikan itu sebagai alasan untuk melakukan perkara yang haram dan diredai Allah seperti mencuri, menerima rasuah atau makan harta dari yang haram.

Perkara-perkara sebegini yang akan menyempitkan lagi rezeki kerana hasil yang ada pada diri anda adalah daripada yang haram.

Sebaiknya bersabar dan cubalah mencari jalan yang sesuai ke atas setiap perkara yang berlaku kerana Allah menjadikan jalan keluar untuk setiap perkara yang menimpa diri anda.

Kesimpulan

Mungkin anda pernah dengar pepatah yang menyebut – ada masanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah.

Tidak semestinya kita akan ditimpa ujian dan kesusahakan selamanya kerana ada masanya Allah akan melimpahkan anda ganjaran dan rezeki yang melimpah ruah.

Wallahu a’alam.

The post 3 Perkara Mudah Yang Boleh Diamalkan Untuk Menjemput Rezeki first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.