Pesan Prof Muhaya, Baiki Cara Pemikiran Anda
Saya tertarik untuk berkongsi hasil daripada tontonan di Facebook yang menampilkan tokoh hebat, iaitu Prof Muhaya dengan tajuk The Power of Dua selain membawakan seorang lagi tetamu, iaitu Neelofa.
Ada satu perkara yang dikongsikan oleh Prof Muhaya dalam sesi kali ini, iaitu pemikiran kita terhadap orang sekeliling yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi diri kita sendiri.
Beliau membawakan kata-kata dari Imam Hassan Al-Basri, iaitu – “Aku tidak keluar dari rumah sebelum melakukan dua perkara, iaitu bertakwa kepada Allah dan melihat orang lain lebih baik dari aku.”
Kita tahu takwa kepada Allah itu apabila kita meletakkan sepenuh pergantungan dan pengharapan kepadaNya.
Tetapi, bukan tentang takwa yang ingin dikupas dalam entri kali ini, namun mengenai pandangan hati kita kepada orang lain.
Apa yang kita hukum atau nilai kepada orang lain itu yang perlu diberi perhatian. Sebelum itu, saya nak tanya kepada anda; mengapa perlu judge orang?
Jawapan itu anda sahaja yang tahu. Namun, apa yang kita perlu sedar ialah nilaian-nilaian yang kita beri kepada orang itu menunjukkan nilai sebenar kepada hati kita sendiri.
Dalam kata-kata Imam Hassan al-Basri ini, beliau menasihatkan kita untuk menetapkan dalam minda bahawa setiap orang adalah yang lebih baik dari kita.
Kita tidak boleh merasa diri kita ini lebih atau sempurna dibandingkan dengan orang lain kerana itu boleh membuatkan hati kita merasa ujub dan tidak tenang.
Fikiran kita cenderung untuk melihat kekurangan orang lain dan merasakan bahawa kitalah orang yang paling baik atau paling hebat. Sedangkan pemikiran itu adalah pemikiran yang perlu dielakkan.
Bahkan, Imam Ghazali juga berpesan, fikirlah yang baik-baik tatkala kita berjumpa dengan orang lain.
#1 – Jika berjumpa dengan pendosa, fikirlah bahawa dia akan bertaubat dan boleh menjadi lebih baik.
#2 – Jika berjumpa dengan orang bukan Islam, fikirlah bahawa dia akan suci seperti bayi apabila dia memeluk Islam.
#3 – Jika berjumpa dengan kanak-kanak, fikirlah bahawa mereka itu masih suci tanpa dosa.
Dan pelbagai lagi fikiran positif dan baik yang perlu diterapkan untuk mengajar diri dan hati kita menjadi baik.
Pemikiran itu adalah mainan minda yang boleh mempengaruhi diri dan juga hari-hari yang dilalui.
Fikirlah yang baik-baik dan semoga yang baik-baik akan hadir dalam hidup anda.
Sumber:
Perkongsian Ekslusif – Power of Doa
The post Pesan Prof Muhaya, Baiki Cara Pemikiran Anda first appeared on Tazkirah.
No comments: