Elakkan Berbisik-bisik Apabila Ada Orang Yang Ketiga
Pernah tak anda tiba-tiba datang kepada rakan, dan mereka bercakap dalam nada berbisik-bisik seperti ingin menyembunyikan sesuatu?
Apa yang dirasakan waktu itu?
Mungkin anda mula berfikir bahawa mereka sedang bercakap tentang anda, atau mungkin ada rahsia lain yang tidak anda tahu. Sama juga keadaannya jika anda yang berbisik dengan rakan, sedangkan rakan anda seorang lagi tidak disertakan sama. Sudah pasti dia berkecil hati dan rasa ketinggalan.
Disebabkan itulah, Islam melarang perbuatan berbisik-bisik terutama apabila anda sedang bertiga. Malah larangan ini disebut oleh baginda Rasulullah SAW sendiri dalam hadis di bawah.
وَعَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ – رضي الله عنه – قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم -: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلَاثَةً، فَلَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الْآخَرِ، حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ; مِنْ أَجْلِ أَنَّ ذَلِكَ يُحْزِنُهُ» مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ، وَاللَّفْظُ لِمُسْلِمٍ
Dari Ibnu Mas’ud r.anhu, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Jika kalian bertiga, maka janganlah berbisik-bisik berduaan sementara yang ketiga tidak diajak, sampai kalian bergaul dengan manusia. Kerana hal ini boleh membuat orang yang ketiga tadi bersedih.” (Muttafaqun ‘alaih. Lafaznya adalah lafaz Muslim – HR. Bukhari, no. 6290 dan Muslim, no. 2184)
Namun perlu kita faham bahawa larangan berbisik apabila ada orang ketiga ini bukan bermaksud berbisik yang memang jelas dilarang seperti mengumpat.
Hal ini kerana, seseorang itu mungkin perlu berbisik kerana ingin menceritakan tentang masalah dan rahsia sendiri kepada rakan kerana inginkan pesanan dan nasihat.
Berbisik dengan tujuan mengumpat memang jelas haram tidak kira berdua, bertiga atau ramai sekalipun.
Menurut para ulama, larangan supaya tidak berbisik ini bukan hanya terhad kepada bilangan tiga orang sahaja. Malah jika ada sepuluh orang atau seratus orang atau lebih sekalipun yang bercakap dalam keadaan berbisik dan meninggalkan seorang lagi sendirian, maka ia tidak boleh kerana pasti orang yang tidak menyertai itu akan rasa tersisih.
Ataupun jika benar-benar ada keperluan mendesak untuk berbisik dan memberitahu sesuatu, maka perlu terlebih dahulu meminta izin dan meminta maaf kepada orang ketiga tersebut.
Lain halnya jika ada beberapa orang di satu tempat dan hanya dua orang yang berbisik dan bercakap berdua, maka itu tidak mengapa kerana yang selebihnya masih boleh berbual bersama.
Lihat betapa Islam mengutamakan kehormatan dan penjagaan hati semua pihak dengan menggariskan adab yang perlu diikuti dalam hal komunikasi serta pergaulan. Justeru berhati-hatilah apabila berbicara dan lihatlah kepada kesesuaian situasi dan masa. Wallahua’lam.
Rujukan:
The post Elakkan Berbisik-bisik Apabila Ada Orang Yang Ketiga first appeared on Tazkirah.
No comments: