Ads Top

Mengapa Tidak Boleh Mencela Makanan

Apabila anda tidak suka dengan rasa sesuatu makanan, apa reaksi yang anda akan berikan?

Adakah anda akan meninggalkan makanan tersebut dan pesan sahaja menu baru atau anda akan memberitahu kepada kedai tersebut (pihak yang bertanggungjawab) agar mereka dapat memperbaiki mutu makanan tersebut atau anda akan merungut sahaja dan memberitahu kepada orang lain bahawa makanannya tidak lazat seperti yang diiklankan.

Tindakan yang anda lakukan itu bergantung kepada diri anda sendiri tetapi kesannya boleh dirasai oleh semua.

Bayangkan, jika anda tidak memberi maklum balas kepada tuan kedai tersebut, tentu mereka akan melakukan kesilapan yang sama kan?

Tindakan ini adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa sebagai pengguna, kita ada hak untuk mengadu dan memberi maklum balas.

Tetapi, ia akan menjadi perkara yang dilarang jika aduan tersebut berbentuk hinaan atau cacian.

Jadi, bagaimana cara untuk mengadu dengan betul? Jawapannya mudah, gunakan bahasa yang betul dan jangan menengking atau marah.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sekali pun. Apabila Baginda berselera, Baginda akan makan. Apabila tidak suka, Baginda akan meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5409)

Yang dimaksudkan dengan mencela makanan adalah; “Eeey tak sedaplah nasi ayam ini” atau “Eeeey, busuklah buah ni. Jangan makan” dan sebagaiya dengan menggunakan bahasa yang tidak enak didengar.

Seeloknya, jika ingin membuat aduan, maka adulah pada saluran yang betul. Kalau tak suka pada makanan tersebut hanya disebabkan ia tidak kena pada selera kita sahaja, sebaiknya elakkan daripada mencela makanan tersebut.

Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin RA berkata – “Yang hendaknya dilakukan oleh seseorang jika dihidangkan makanan adalah menyedari besarnya nikmat Allah kepadanya yang telah memudahkannya untuk mendapat makanan. Bersyukur dengannya dan tidak mencela makanan tersebut. Jika suka, maka makanlah. Jika tidak suka, tidak perlu dimakan dan tidak boleh menghina makanan tersebut dengan bentuk hinaan.

Antara sebab tidak boleh menghina makanan adalah;

#1 – Rezeki itu datang dari Allah. Jadi, kita perlu bersyukur di atas kurniaanNya.

#2 – Dalam masa yang sama, kita juga perlu menjaga hati tukang masak yang telah bertungkus-lumus menyediakan makanan kepada kita. Jika diniatkan untuk membantu membaiki mutu masakannya, maka salurkan aduan itu pada saluran yang betul dengan cara yang betul.

#3 – Sunnah Rasulullah adalah memuji makanan. Setiap makanan yang lazat yang sampai kepadanya sentiasa dipuji. Dan jika makanan tersebut tidak sedap, Baginda akan diam sahaja.

Jadi, bila sampai kepada anda makanan yang tidak lazat, maka sebaiknya diam sahaja dan tinggalkan makanan tersebut. Jangan dicela rezeki yang sampai kepada anda.

Rujukan:
Muslim.or.id




No comments:

Powered by Blogger.