Ads Top

Lima Tahun Menghilang, Nomad Mahu Kembali Aktif Dalam Bidang Nyanyian

Suatu ketika nama penyanyi Nomad pernah melonjak gara-gara lagu Tetap Menantimu mendapat sambutan hangat dan menjadi siulan di bibir peminat-peminat.

Bagaimanapun, ketika namanya berada di kemuncak, dia tiba-tiba seakan-akan menghilangkan diri dan tidak lagi bergiat aktif dalam nyanyian sejak lima tahun lalu.

Kini, penyanyi berkenaan membuat kejutan apabila menjadi salah satu peserta yang akan bersaing dalam program realiti Gegar Vaganza 7 (GV7) yang akan mula disiarkan mulai 11 Oktober ini.

Nomad yang ditemui berkata, sepanjang menghilang selama lima tahun, dia tidaklah menghilangkan diri terus, sebaliknya bekerja sendiri dan bukan dalam industri.

“Lima tahun saya tak ada, mungkin semua orang tahu iaitu mengenai diri saya sendiri, terutama pasal keyakinan. Kini saya rasa kena perbetulkan keadaan.

“Saya perlu buktikan kepada diri sendiri dan pada masa sama untuk orang lain menilai diri saya. Saya perlu yakinkan diri yang saya boleh buat dengan menyertai program ini,” ujarnya.

Menurutnya, setelah selesai menyertai program GV7 juga dia akan kembali serius untuk aktif semula dalam bidang nyanyian yang pernah ditinggalkannya sebelum ini.

Biarpun sepanjang ketiadaannya, sudah ramai penyanyi baharu yang muncul sehingga mewujudkan persaingan yang lebih besar, Nomad menjelaskan dia percaya semuanya terpulang kepada rezeki.

“Macam yang pernah saya cakap sebelum ini, biarlah orang tak terima saya, asalkan orang terima lagu-lagu saya itu pun dah cukup.

“Selama lima tahun itu saya berasa macam-macam kerugian. Namun saya rasa tetap dihargai apabila lagu Tetap Menantimu itu dapat diterima peminat,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaannya dalam GV 7, Nomad menyatakan apa yang paling penting adalah persediaan dari segi mental untuk bersaing dengan peserta-peserta lain.

“Saya juga sudah mengambil kelas vokal dan baru selesai untuk sesi yang pertama,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Lima Tahun Menghilang, Nomad Mahu Kembali Aktif Dalam Bidang Nyanyian appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.