Keindahan Di Sebalik Kalimah Sayyidul Istighfar
Istighfar ialah kalimah dan perbuatan untuk memohon keampuanan daripada Allah SWT dan ia adalah cara memohon ampun yang paling mudah.
Kenapa saya katakan ia mudah? Kerana ia bukan sahaja boleh dilakukan pada bila-bila masa, bahkan di mana-mana jua. Tetapi jangan pula menyebut kalimah suci ini di tempat yang dilarang seperti tandas.
Setiap dari kita tidak lari dari melakukan dosa. Setiap hari, pasti ada kesilapan sama ada yang kecil mahupun besar yang sering dilakukan.
Dan kesilapan-kesilapan seperti ini boleh disucikan dengan beristighfar. Apabila tersedar sahaja ada perbuatan dosa yang dilakukan, segera ucapkan Astaghfirullahal’azim seberapa banyak yang anda mahu.
InsyaAllah, tuhan menjanjikan keampunan dan ketenangan kepada diri anda.
Dan melalui sabda Baginda SAW, ada disebutkan mengenai Sayyidul Istighfar, iaitu penghulu segala istighfar.
Dari Syadad bin ‘Aus RA, Nabi SAW bersabda;
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksud: “Sayyidul Istighfar apabila kamu mengucapkan: “Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tiada Ilah Yang berhak disembah dengan benar melaikan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Aku di atas perjanjianMu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka ampunilah aku. Ini kerana tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6306)
Apa yang dimaksudkan dengan penghulu segala istighfar? Imam Ibnu Hajar menyebutkan bahawa Nabi SAW telah menghimpunkan lafaz-lafaz istighfar yang indah dan membawa makna yang sangat menenangkan.
Ia dinamakan sebagai Sayyidul Istighfar kerana kandungganya melebihi seluruh bentuk istighfar yang mengandungi tiga bentuk tauhid, iaitu rububiyyah, uluhiyyah dan Asma wa sifat.
Tauhid rububiyyah ialah pengakuan terhadap keesaan Allah SWT. Uluhiyyah pula ialah beribadat hanya kepada Allah dengan tidak mensyirikkanNya dan Asma wa Sifat ialah mengesakan Allah dari segala nama dan sifatNya kerana hanya Allah yang layak memiliki kesempurnaan itu.
Jadi, mari kita lihat makna yang terkandung di sebalik Sayyidul Istighfar;
#1 – اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ
“Ya Allah, Engkau adalah Rabbku“
Kalimat yang menyebut mengenai ikrar terhadap rubiyyah Allah; Allah itu tidak diciptakan dan Dia Maha Berkuasa
#2 – لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
“Tiada yang berhak disembah melainkan Engkau”
Ia merupakan bentuk ikrar terhadap tauhid uluhiyyah; Dia adalah yang berhak disembah dan segala perlakuan kita hanyalah kepadaNya, bukan kepada yang lain.
#3 – خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ
“Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu”
Kalimah ini menunjukkan ikrar seorang hamba terhadap kewajipan beribadah dan manusia serta segala makhluk di bumi adalah milik Allah.
#4 – وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ
“Aku di atas perjanjianMu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku”
Kalimah ini menunjukkan bahawa seorang hamba itu berjanji untuk berada di atas jalan lurus (Islam) dan bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya dengan sekuat tenaganya.
#5 – أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ
“Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku.”
Seorang hamba itu selalu berlindung kepada Allah dari semua bentuk keburukan, dosa dan maksiat yang telah dikerjakannya kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Berkuasa atas segalanya.
#6 – أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ
“Aku mengakui nikmatMu kepadaku”
Ia adalah bentuk ikrar dan pengakuan terhadap nikmat-nikmat dan kurnia yang telah Allah berikan kepadaNya dan nikmat itu terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung.
#7 – وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي
“Dan aku mengakui dosaku kepadaMu”
Pengakuan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan sama ada yang dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan dan yang kecil atau yang besar
#8 – فَاغْفِرْ لِي
“Maka, ampunilah aku”
Kalimah memohon ampunan kepada Allah secara langsung dengan lisannya.
#9 – فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
“Tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”
Dalam banyak nikmat yang telah diperoleh dan banyaknya dosa yang telah dilakukan, keyakinan bahawa tiada yang dapat mengampuni dosa yang ada melainkan Allah. Kerana hanya Allah yang Maha Mengampuni.
Kesimpulan
Istighfar itu sangat penting dan mempunyai banyak kelebihan. Maknanya sendiri mempunyai erti yang sangat indah bermula dari pengakuan terhadap keesaan Allah, mensyukuri nikmat yang diperoleh, mengaku bersalah akan dosa yang dilakukan serta meminta keampunan hanya kepadaNya.
Wallahu a’alam
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Keindahan Di Sebalik Kalimah Sayyidul Istighfar first appeared on Tazkirah.
No comments: