‘Ghosting’ – Bagaimana Ia Berlaku & Apa Tindakan Kita (Siri I)
Saya teringat akan sebuah karya saya bersama abang saya yang berjudul Pematah Hati Yang Tak Dirindukan terbitan MustRead Sdn Bhd pada tahun 2018.
Karya ini ada memuatkan sebuah artikel tentang kritikan kami terhadap idea ‘so-called islamis’ kononnya selagi kita belum berkahwin maka kita berhak untuk meninggalkan seseorang itu dengan sepintas lalu tanpa memberikan sebarang alasan munasabah atau rasionalnya tindakan tersebut kepada si dia.
Alasan mereka yang berhujahkan terhadap idea seperti ini ialah selagi belum bernikah maka ia belum dikira halal.
Halal selepas bernikah selalunya dikaitkan dengan hubungan seksual dan keintiman, jadi ia tiada kena mengena dengan soal menabur janji dan culas.
Janji setia ialah sebuah topik atau isu lain yang tidak termasuk dalam perihal menghalalkan hubungan seksual.
Jika pemikiran ini dibiarkan berleluasa, sudah tentu Islam akan mendapat tempias buruk dari para pelakunya yang cenderung menunggang dengan hujah keagamaan.
Sedangkan Allah SWT telah berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Maidah, 5:1)
Kata Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili – “Janji adalah satu sifat yang terpuji. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan nifaq. Meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka, secara syarak, wajib untuk menepati janji. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, sebenarnya dia telah melakukan maksiat dan dosa.” (Rujuk al-Tafsir al-Munir, 15/73)
Firman Allah SWT lagi melalui kalamNya yang lain:
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah Al-Isra’, 17:34)
Syeikh al-Maraghi juga ada menyebut – “Tunaikanlah apa yang telah kamu janjikan kepada Allah untuk sentiasa menunaikan apa yang Dia bebankan kepadamu mahupun apa yang kamu janjikan kepada manusia, seperti akad-akad muamalat dalam soal jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya.”
Al-Zajjaj mengatakan – “Apa sahaja yang diperintahkan mahupun yang dilarang oleh Allah SWT termasuk perjanjian dan termasuk ke dalamnya pula janji antara seorang hamba dengan Tuhannya atau antara hamba Allah SWT sesama mereka.“
Sementara itu, yang dimaksudkan dengan menunaikan janji ialah memelihara janji menurut cara yang diizinkan oleh syariat mahupun undang-undang yang diredai oleh Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/3945-3946)
Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur ketika menafsirkan ayat ini, beliau menyebutkan: “Ayat ini adalah satu perintah supaya menepati janji (yang telah dilakukan).” (Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 14/78)
Perjanjian Hudaibiyah Yang Mengangkat Maruah Islam
Sebelum ini saya adalah seorang graduan Syariah Islamiah; perihal hubungan antara manusia seperti perkahwinan atau pertunangan adalah termasuk dalam kerangka topik yang besar iaitu Muamalat.
Cuma para ulama’ pecahkannya lagi kepada beberapa bahagian. Antaranya, Ahwal al-Syakhsiyah/Munakahat dan Muamalat yang berbincang soal urusan kewangan dan harta.
Walau bagaimanapun, semua berada di dalam satu disiplin yang sama iaitu Muamalat (hubungan sesama manusia) yang kita boleh kiaskan terhadap dalil-dalil di atas sama ada di dalam urusan jual beli mahupun perjanjian janji setia di dalam perhubungan.
Kemudian, kalau kita telusuri lagi di dalam kitab-kitab Fekah Munakahat ada disebutkan perbincangan mengenai topik al-Khitbah (pertunangan) dan salah satu hadis yang menjadi perbahasan ialah :
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَبِيعَ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَلَا يَخْطُبَ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ
Maksudnya : “Nabi SAW melarang berjual beli di atas jualan sebahagian dari kamu dan (Nabi juga melarang) seorang lelaki meminang tunangan saudaranya sehinggalah dia meninggalkan tunangannya ataupun diizinkan oleh saudaranya (untuk meminang perempuan tersebut).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5142)
Sabda Nabi saw:
Maksudnya : “Orang Muslim berpegang dengan syarat mereka (yang telah dipersetujui) kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan syarat yang menghalalkan perkara yang haram.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, no. 11762)
Imam al-Khatib al-Syarbini ketika mengulas tentang rasionalnya larangan meminang tunangan orang lain adalah bagi mengelakkan kesakitan dari aspek psikologikal.
Daripada perbincangan para ulama’ tentang topik pertunangan, mereka kiaskan sama seperti urusan jual beli, walaupun ia tidak setaraf dengan nilai sebuah perkahwinan dan jual beli barang, namun konspenya hampir sama, iaitu kita perlu menunaikan ikatan perjanjian.
Janji di sisi Islam amatlah besar sehinggakan kalau kita lihat dari sirah Nabi Muhammad SAW sendiri bersama para sahabat dalam kisah perjanjian Hudaibiah ada disebutkan tentang Saidina Umar.
Saidina Umar Al-Khattab diceritakan sedikit terasa hati terhadap tindakan Baginda yang tidak meneruskan ibadah Tawaf di Kota Mekah kerana terikat dengan perjanjian bersama Musyrikin Mekah.
Sekalipun pada awalnya, pihak umat Islam tampak kalah, hina dan diperbodohkan akibat menunaikan janji, tetapi dari segi sejarah dan kesannya selepas itu, Islam diangkat penuh bermaruah dan dipimpin oleh orang hebat seperti Baginda SAW.
Tulisan kali ini bukan hendak menceritakan Fiqh Sirah mengenai Perjanjian Hudaibiyah tersebut, tetapi untuk menjadikan kisah ini sebagai suatu contoh bahawa menjaga janji yang dibina itu amatlah dituntut selagi janji itu bukan sesuatu yang terlarang disisi agama.
Jika Baginda SAW boleh penuhi janji kaum Musyrikin Mekah, lalu bagaimana dengan kita sesama umat Islam? Jangan sewenang-wenangnya menggunakan kalimat “belum halal lagi” bagi menjustifikasikan tindakan tersebut.
Ini suatu perkara yang bertentangan dengan semangat Maqasid Syariah, iaitu menjaga maruah “Hifz al-Muru’ah”.
Sesiapa yang belajar bidang Syariah, dia akan jumpa subjek Maqasid Syariah, iaitu sebuah topik perbincangan besar mengenai matlamat dan tujuan syariat.
Jika kita mengangkat sepanduk kononnya apa yang kita lakukan itu adalah di atas dalil-dalil agama tetapi natijahnya keburukan, kehinaan dan kekecewaan, maka itu bukan seperti yang agama Islam mahukan.
Ia termasukdi dalam isu menghalalkan tindakan ‘ghosting‘ dalam perhubungan sebelum nikah kerana mendakwa selagi belum halal, maka tindakan melepaskan seseorang sesuka hati itu dibolehkan.
Ghosting: Sebuah Kajian Psikologi
Gwendolyn Seidman (Phd) ada menulis sebuah makalah yang mengulas kertas-kertas saintifik psikologi berkaitan dengan isu ghosting di dalam sebuah halaman sesawang Psychology Today.
Beliau meringkaskan mengapa orang ramai acapkali terkena dengan tindakan ghosting, sama ada seseorang yang buat atau seseorang itu yang terkena.
Menurut kajian, Gili Freedman bersama rakan sekerjanya yang telah menjalankan sebuah kajian dan diterbitkan di Journal of Social & Personal Relationships.
Beliau telah membuat soal selidik dengan mengumpulkan dua kumpulan yang berbeza dalam kalangan orang dewasa di Amerika Syarikat, iaitu kumpulan pertama seramai 554, manakala kumpulan kedua pula seramai 747 peserta.
Melalui kedua-dua kumpulan tersebut, terdapat 25% yang mendakwa pernah di-ghosted (ditinggalkan) oleh pasangan sebelum ini dan 20% daripada peserta lain pula mendakwa pernah meninggalkan pasangan mereka sebelum ini.
Seidman bertanya tentang perasaan yang dialami peserta apabila di tinggalkan begitu sahaja.
Kebanyakan orang tidak akan boleh terima keadaan tersebut. Cuma penerimaan seseorang kepada tindakan ini terpecah kepada beberapa jenis perhubungan.
#1 – Sebanyak 28% daripada peserta yang boleh menerima keadaan ditinggalkan begitu sahaja jika mereka hanya pernah bertemu sekali sahaja.
Manakala, 4.7% yang lain pula berpendapat bahawa cara menghilangkan diri sebegini adalah lebih baik daripada berlama-lamaan kerana ia akan menambah rasa sakitnya hati.
#2 – Selain itu, majoriti peserta (69.1%) mengatakan bahawa mengetahui seseorang telah menipu pasangan (ghosting) akan membuat mereka berfikir lebih negatif terhadap orang itu
#3 – Secara umumnya, kebanyakan respondan berpendapat bahawa meninggalkan begitu sahaja atas dasar perhubungan sebagai rakan pun tidak boleh diterima, apatah lagi dalam hubungan peribadi seperti bakal pasangan yang ingin dikahwini.
Bersambung…
The post 'Ghosting' - Bagaimana Ia Berlaku & Apa Tindakan Kita (Siri I) first appeared on Tazkirah.
No comments: