Ads Top

Ini 3 Amalan Yang Disukai Allah

Para sahabat sangat suka bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan-amalan yang dicintai Allah.

Bahkan, kalau kita lihat dalam hadis-hadis atau penceritaan yang diriwayatkan, banyak sangat dalil yang menceritakan mengenai amalan-amalan yang boleh diamalkan sama ada ia yang kecil mahupun yang besar.

Ganjaran dan pahala itu adalah rahsia Allah. Yang paling penting ialah apabila kita sendiri perlu meniatkan amalan kita itu ikhlas keranaNya, itulah yang terbaik.

Dalam sebuah hadis sahih ada diceritakan mengenai amalan-amalan yang dicintai Allah dan boleh diamalkan, iaitu;

عن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال: سألت النبي صلى الله عليه وسلم أي العمل أحب إلى الله؟ قال: “الصلاة على وقتها”, قلت: ثم أي؟ قال: “بر الوالدين”, قلت: ثم أي؟ قال: “الجهاد في سبيل الله”

Dari Abdullah Ibn Mas’ud RA berkata: “Aku bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang amalan yang paling disukai Allah. Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian apa? Baginda menjawab lagi: “Berbuat baik kepada kedua orang tua.” Aku bertanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Jihad fi sabilillah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 648)

Hadis ini dinilai sahih kerana telah diriwayatkan oelh perawi yang thiqah, iaitu Abu Amr Sa’d bin Iyas Asy-Syaibani. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang berada di sisi Baginda SAW ketika awal kedatangan Islam.

Antara perawi lainnya adalah Abu Abdirrahman al-Hudzali RA, salah seorang sahabat yang juga mula-mula memeluk Islam dan telah menyertai beberapa perang seperti Perang Badar.

Kita dapat lihat perkara yang disebut dalam hadis ini adalah tiga amalan yag sangat dicintai Allah jika dilakukan.

#1 – Solat Di Awal Waktu

Hadis ini menunjukkan bahawa solat di awal waktu itu mempunyai banyak kelebihannya. Ia juga sebagai peringatan kepada manusia supaya tidak melewatkan solat (secara sengaja) atau solat di luar waktunya.

Jangan sengaja melambatkan solat. Jika punya kelapangan waktu atau mempunyai peluang untuk solat di awal waktu, cubalah solat segera.

Solat merupakan perkara utama yang akan dihisab kelak. Ia juga merupakan ibadah yang penting yang dijadikan sebagai penghubungan dengan Allah.

#2 – Berbuat Baik Kepada Orang Tua

Umum mengetahui bahawa ibu bapa adalah orang yang perlu ditaati. Walaupun kita tidak dapat membalas jasa mereka, namun sebagai seorang anak, kita perlu melakukan yang terbaik untuk mereka.

Berjaya membuatkan mereka senyum dan gembira, menolong mereka dengan perkara-perkara yang kecil atau sentiasa bertanya khabar kepada mereka; itu merupakan salah satu perkara yang terlihat kecil, namun besar pahalanya di sisi Allah.

#3 – Jihad Di Jalan Allah

Jihad di sini dibahaskan dengan pengertian yang luas. Tetapi yang boleh kita lihat di sini adalah jihad dengan diri sendiri.

Jika di zaman Baginda SAW, mereka berjihad di medan perang untuk melawan musuh dan menyebarkan Islam.

Tetapi, hari ini siapa musuh kita yang perlu dilawan? Ia adalah hawa nafsu dan syaitan sendiri.

Sentiasa berusaha untuk berjihad di jalan Allah dengan boleh mengawal hasutan yang ada. Bisikan-bisikan negatif itu sentiasa ada, namun iman di dalam diri kitalah yang boleh membantu mengawal semua itu.

Kesimpulan

Sebenarnya, bukan hanya tiga perkara ini. Ada banyak lagi yang amalan yang digemari Allah. Bahkan, jika amalan itu kecil namun istiqamah, ia juga dicintai Allah.

Pertanyaan yang diajukan ini adalah sebagai salah satu pendorong dan semangat untuk hati sentiasa istiqamah berbuat baik.

Sebagaimana yang disebut oleh Ibn Mas’ud pada akhir hadis ini, iaitu;

Maksud: “Itu semua yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW kepadaku. Sekiranya aku menambah (pertanyaanku), pasti Baginda akan menambah lagi jawapannya kepadaku.

Rujukan:
Bincang Syariah

The post Ini 3 Amalan Yang Disukai Allah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.