Ads Top

Hukum Pamer Wajah Model Wanita Dalam Video Tutorial “Makeup” Di Media Sosial Dijelaskan Mufti

hukum tutorial mekap

Tidak kira apapun pekerjaan yang kita lakukan, intinya ia mestilah pekerjaan yang halal lagi diberkati selaras dengan panduan agama.

Seiring kemajuan media sosial, rata-rata peniaga mula beralih kepada platform atas talian bagi mempromosikan produk mereka.

Bagi peniaga produk kosmetik, mungkin ada yang pernah terdetik hukum memakai solekan tebal untuk mempromosikan produk mereka melalui tutorial mekap secara atas talian.

Bagi menjawab persoalan ini, mari kita baca jawapan oleh Mufti Wilayah Persekutuan seperti di bawah.

Soalan

Saya mempunyai kemusykilan dan tercari-cari jawapan. Saya merupakan perniaga produk kosmetik dan alat kosmetik.

Persoalannya, bolehkah saya berniaga secara langsung atas talian (online) dengan mempamerkan tutorial penjagaan wajah wanita mahupun solekan wajah wanita, lebih-lebih lagi perniagaan pada musim wabak Covid-19.

Adakah dikira mendedahkan aurat walaupun muka sahaja dan bertudung. Apakah tatacara yang boleh dicontohi perniaga kosmetik seperti saya?

Ataupun lebih baik saya tinggalkan perniagaan tersebut. Diharap Tuan dan ahli pasukan dapat membantu. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Realiti terkini, peniaga produk kosmetik dan alat solek menggunakan rangkaian media sosial sebagai wasilah untuk mempromosikan produk mereka.

Peniaga kosmetik mempamerkan video tutorial solekan mahupun tutorial penjagaan wajah secara langsung bagi tatapan umum pada ruangan Faceook Live mahupun Instagram Live dengan tujuan memasarkan produk mereka.

Persoalannya, bolehkah mempamerkan model wajah wanita bagi tatapan umum walaupun bertudung ?

Pada asasnya wajah wanita bukan aurat kerana termasuk anggota zahir yang boleh didedahkan namun solekan pada wajah wanita hanya pada kadar yang tidak melampaui batas agar terhindar daripada fitnah.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Hal tersebut berdasarkan dalil yang ditetapkan syarak seperti berikut:

Firman Allah SWT

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Surah al-Nur: (31)

Ayat tersebut menerangkan kewajipan kaum wanita menyembunyikan perhiasannya melainkan apa yang zahir.

Maksud perhiasan merujuk kepada dua jenis iaitu pakaian yang menutup tubuh badan dan alat perhiasan. (Lihat: Tafsir al-Kabir (23/363).

Sementara, makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka dan dua tapak tangan (Lihat: Tafsir al-Quran al-Azim (6/42).

Oleh itu, batasan aurat wanita dihadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.

Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat tersebut menyatakan : “Hiasan kecantikan adalah halal bagi wanita kerana menepati fitrah semulajadi mereka. Islam tidak menentang keinginan fitrah wanita namun perlu dikawal dengan garis panduan (dawabit) yang ditetapkan.( Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran (4/2512).

Wanita tidak dibenarkan tabarruj iaitu berlebih-lebihan dalam berhias untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab (33)

Sehubungan itu, cara mempromosikan produk kosmetik dengan mempamerkan tutorial wanita yang disolek secara berlebihan adalah bertentangan syarak selain dibimbangi boleh menimbulkan fitnah kerana tertumpu kepada kecantikan wajahnya.

Bahkan, kaum wanita perlu berusaha untuk mengelakkan sebarang fitnah dan menutup pintu yang membawa kerosakan (sadd al-zara’i). Ini berdasarkan kaedah berikut :

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Syor dan Cadangan

Pelbagai jenis produk kosmetik yang dijual di pasaran yang merangkumi produk penjagaan kulit “skincare “ mahupun produk kosmetik untuk solekan wajah.

Penggunaan produk kosmetik bagi menzahirkan impresi lebih sihat selain bertujuan melengkapkan penampilan zahir yang boleh diklasifikasikan sebagai tahsiniyyah (pelengkap).

Namun pengggunaan produk kosmetik tidak boleh keterlaluan sehingga boleh menarik perhatian ajnabi. Lantaran itu, kami akan mengesyorkan beberapa tatacara mempromosikan produk kosmetik seperti berikut:

Kami mencadangkan agar para peniaga produk kosmetik solekan wajah “make-up” untuk menyediakan pautan kumpulan telegram (group telegram) yang khusus disertai oleh kaum wanita sahaja sekaligus mempamerkan tutorial “make-up” wajah daripada model wanita.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Hal ini kerana produk kosmetik solekan sememangnya khusus digunakan oleh kaum wanita untuk tujuan perhiasan diri.

Usaha mempromosikan produk kosmetik dengan mempamerkan tutorial solekan melalui mekanisme yang lebih tertutup adalah lebih selamat dan terhindar daripada fitnah.

Kami turut mengesyorkan agar para peniaga memberi contoh tutorial solekan sederhana ‘minimalis’ kepada pelanggan seperti pengunaan pemerah bibir (gincu) pada kadar yang tidak menyerlah hanya untuk menghilangkan pucat pada bibir.

Sementara, tatarias wajah hanya untuk menutupi pucat pada wajah agar kelihatan semulajadi tanpa mengubah bentuk asalnya. Hal ini kerana wanita hanya berhak berhias secara berlebihan dihadapan suaminya.

Walaubagaimanapun, video tutorial solekan wanita tidak boleh disebarluaskan ke rangkaian media sosial.

Adapun, tutorial penjagaan kulit wajah (skincare) daripada kalangan model lelaki boleh dipromosikan secara terbuka pada ruangan Facebook Live, Instagram Live mahupun rangkaian media sosial yang lain.

Hal ini kerana produk kosmetik penjagaan kulit (skincare) seperti produk krim wajah, pelembab, serum, pembersih muka dan masker boleh digunakan oleh jantina lelaki dan perempuan.

Peniaga juga boleh mempromosikan produk penjagaan wajah secara atas talian dengan menerangkan khasiat produk mereka serta bukti testimoni melalui pengakuan pengguna.

Seterusnya, para peniaga kosmetik juga perlu memastikan produk yang dipasarkan daripada bahan yang halal dan tidak memudaratkan.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Penutup

Setelah meneliti hujah yang dikemukakan, kami simpulkan bahawa harus menjual dan mempromosikan produk kosmetik sekiranya tidak terdapat unsur yang bertentangan dengan syarak seperti mempamerkan solekan model wanita secara berlebih-lebihan.

Hal ini kerana keinginan memenuhi fitrah manusia untuk tampil cantik dan menawan terutamanya golongan wanita mestilah berpandukan piawaian yang ditetapkan oleh syarak.

Tambahan pula, tujuan penggunaan produk kosmetik hanya sekadar menutupi pucat pada wajah selain tampil berkeyakinan dan lebih ceria agar disenangi ketika berinteraksi kepada sesiapa sahaja.

Akhir kalam, semoga kita dapat menjalankan kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar. Ameen.

BOLEHKAH MEMPAMERKAN TUTORIAL KOSMETIK YANG MELIBATKAN MODEL WAJAH WANITA DI MEDIA SOSIALRujuk Sumber Asal: http://bit.ly/blhkhpmrttrlbrslkAlbum Infografik: https://bit.ly/Albumi-Graphf

Posted by Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan on Monday, September 21, 2020

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

The post Hukum Pamer Wajah Model Wanita Dalam Video Tutorial “Makeup” Di Media Sosial Dijelaskan Mufti appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.