Eira Syazira Terima Kejutan, Dapat Hadiah Set Barang Kemas Bernilai RM15,000
Sempena meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan ke-9 pada 16 September lalu, Azad Jasmin memberikan kejutan paling manis buat isteri tercinta, Eira Syazira.
Menerusi perancangan yang diaturkan sejak dua bulan lalu oleh Azad akhirnya berjaya dilaksanakan dengan ‘komplot’ ahli keluarga, sanak saudara, teman media dan blogger.
Percaturan awal kononnya hanya mahu membawa Eira menikmati hidangan ‘candle light dinner’ berjaya dikaburi Azad. Namun begitu, Eira perlu berjalan menuju ke premis acara itu dengan mata bertutup.
Saat tiba di lokasi premis berkenaan, tetamu yang hadir bersorak menyebut ‘suprise’ hingga mengundang air mata Eira kerana terlalu sebak dengan kejutan suaminya.
Menariknya, Azad turut merancang meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, termasuk bersanding semula buat pertama kali di atas pelamin dan makan beradab.
Lebih menjadi lebih berganda apabila pihak Emas Rozita beroperasi di Ipoh turut menghadiahkan set barang kemas berupa cincin, rantai, gelang dan anting anting bernilai RM15,000 kepada Eira.
“Sebelum ini saya yang lebih ke depan dalam bab menganjurkan sesuatu, termasuklah meraikan ulang tahun perkahwinan kami. Dia (Azad) hanya bersetuju dan menjadi ‘Mr Okey’.
“Bagaimanapun, sekitar dua bulan lalu, dia ada beritahu nak buat sesuatu, kononnya mahu menghabiskan masa bersama menikmati ‘candle light dinner’. Syaratnya, saya tak boleh tanya apa pun dan tengok telefon bimbitnya.
“Serba-serbi persiapan daripada memilih gaun yang nak dipakai dan jurusolek pun dia sediakan. Saya tak sangka pula rupa-rupanya dia buat sesuatu yang di luar kotak fikiran. Memang terkejut hingga rasa sebak apatah lagi ada keluarga, teman rapat dan pihak media serta blogger yang ‘bersengkongkol’ dengannya,” kata Eira.
Pelakon dan penyanyi yang juga ibu kepada tiga cahaya mata perempuan ini bagaimanapun turut mengakui cuba untuk merosakkan perancangan kejutan suaminya.
“Saya terlebih dulu meraikan ulang tahun perkahwinan kami di Pulau Langkawi, dua hari sebelum kejutan ini terjadi.
“Dalam hati cuba mengorek dan menyiasat apalah yang cuba dilakukan suami. Kami tiba di Kuala Lumpur dari Langkawi pada sebelah siang sebelum kejutan ini terjadi.
“Saya sampai cakap keletihan sekembalinya dari pulau itu dan meminta ditunda saja ‘candle light dinner’ ini. Malah saya sampai minta percutian di Langkawi dilanjutkan beberapa hari. Tapi dia berkeras cakap tak boleh kerana semua sudah diatur. Mahu atau tidak saya terpaksa menurut,” kata Eira.
Bagi Eira, sepanjang perkahwinannya yang dibina bersama Azad sejak 16 September 2011, pasti ada turun naik
“Awal perkahwinan pasti ada rasa cemburu kalau suami balik lewat contohnya. Cuma lama lama kita susah mula faham rentak suami. Perasaan risau dan tak yakin itu sudah kian terhakis. Cuba elak daripada fikir bukan bukan. Kepercayaan jadi teras utama.
“Apabila hidup bersama kita mula tahu sisi baik dan buruk pasangan. Kena terima, hadap dan biasakan. Saya dulu sebelum kahwin lebih serius dan dramatik. Tapi dapat pula suami yang gila gila dan penuh humor, saya mula mengikut rentaknya. Tahulah perangai dia macam kita tengok di Instagram bagaimana pula. Ada saja modal lawak dan usikan buat kita ketawa sampai terbahak bahak.
“Lebih utama apabila berkahwin, kita juga kena akrab dengan keluarga mentua. Ibu mentua pun saya sudah anggap ibu kandung sendiri. Adik lelaki nya pun sudah jadi seperti teman BFF saya,” katanya.
Eira juga mengakui kehadiran tiga anak perempuannya, Amarra Sofea Rose, 7, Ameisya Leanne Rose, 4 dan
Areisya Suri Rose, 2 sudah mencukupi jadi pelengkap rumah tangga mereka.
“Tapi saya tahu suami memang kalau boleh nak anak lelaki pula. Saya dalam hal ini hanya berserah. Kalau ada rezeki hamil, saya tak tolak. Ikut hati cukuplah tiga anak perempuan.
“Cuma apabila bersalin ketiga anak itu dengan cara pembedahan, doktor memang minta jarakkan tempoh masa kalau nak hamil lagi,” katanya.
Sementara itu, Azad mengakui niat bersanding balik itu sudah lama terpendam.
“Tapi saya lihat angka kesembilan dengan tiga anak ini waktu terbaik untuk realisasikannya. Memang teringin nak ‘menikah’ lagi. Isteri saya tak kisah nak menikah berapa kali pun dan izinkannya, dengan syarat kena bersanding dengan orang sama iaitu dengan dia.
“Alhamdulillah berkat bantuan adik kandung, adik ipar dan rakan kongsi produk Bobba Fitz. Dengan bantuan penaja lain termasuk Rass Deco, jadilah apa yang saya impikan,” katanya.
Kata Azad, apa yang dilakukannya juga sebagai menghargai Eira.
“Saya bersyukur ditemukan isteri. Dialah ‘supermom’ kepada anak kami. Biarpun kami berbeza sikap, tapi apabila masuk dalam dunia perkahwinan, kami saling percaya.
“Kami kini lebih matang. Elakkan hal negatif dan tak perlu. Tak sangka juga perkahwinan kami sudah melepasi angka sembilan. Rasa macam baru saja kahwin dan bercinta dengannya,” kata Azad.
Pada majlis kejutan itu, Shaheizy Sam, Syatilla Melvin, Aiman Tino, Fareez Fauzi dan bekas penyerang Harimau Malaya, Khalid Jamlus turut hadir. – KopiPlanet.com
The post Eira Syazira Terima Kejutan, Dapat Hadiah Set Barang Kemas Bernilai RM15,000 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: