Doa Selepas Wuduk Yang Boleh Diamalkan
Setiap kali sebelum menunaikan solat, umat Islam diwajibkan mengambil wuduk terlebih dahulu. Jika tiada wuduk, maka solat yang dilakukan tidak sah. Namun, apa yang dimaksudkan dengan wuduk?
Ia adalah sebuah perbuatan membersihkan anggota tertentu yang dimulai dengan niat, membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan beberapa syarat serta rukun yang lain.
Hukumnya adalah wajib atau fardu ke atas seseorang yang hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang sunat, sembahyang wajib atau melakukan tawaf Ka’abah.
Ia boleh menjadi sunat jika perkara yang ingin dilakukan itu adalah yang sunat seperti membaca atau mendengar Al-Quran, melakukan azan, hendak tidur dan pelbagai perkara lagi.
Antara hikmah yang boleh dilihat adalah dapat membasuh anggota badan daripada kotoran dan debu. Hikmah lainnya adalah dapat menggugurkan dosa dari setiap anggota wuduk yang dibasuh.
Namun, wuduk tidak hanya selesai selepas basuhan terakhir, iaitu membasuh kaki, tetapi ia sepatutnya diakhiri dengan bacaan doa.
Baginda SAW ada mengajarkan kepada kita mengenai doa selepas wuduk yang boleh diamalkan untuk menjadikan wuduk kita untuk sempurna dan diterima olehNya.
عَنْ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ, فَيُسْبِغُ اَلْوُضُوءَ, ثُمَّ يَقُولُ: “أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اَللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ”, إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ اَلْجَنَّةِ”
Maksud: “Umar RA berkata, Baginda SAW bersabda: “Tidak seorang pun di antara kamu yang berwuduk dengan sempurna, kemudian berdoa: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah Yang Esa tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya.” kecuali telah dibukakan baginya pintu syurga yang ia dapat masuk melalui pintu mana pun yang ia kehendaki.” (Hadis Riwayat Uqbah bin Amir, no. 17314)
Walaupun hukum membaca doa ini adalah sunat, namun tidak salah untuk mengamalkannya. Siapa tahu jika ia boleh menampung kekurangan dalam wuduk tersebut.
Wallahu a’alam.
The post Doa Selepas Wuduk Yang Boleh Diamalkan first appeared on Tazkirah.
No comments: