Ads Top

Cemburu Dengan Insan Yang Diberi Peluang Menunaikan Solat Berjemaah?

“Seronoknya dapat peluang untuk solat berjemaah. Boleh 27 kali pahala.”

Mungkin ada dalam kalangan anda yang pernah mencemburui golongan yang diberi peluang untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Terutamanya insan yang diberi masa yang panjang contohnya sudah tidak bekerja atau di tempat kerjanya sendiri ada ruang untuk menunaikan solat jemaah.

Seperti yang diketahui, banyak sebenarnya kelebihan menunaikan solat secara berjemaah apatah lagi jika berjaya merebut peluang untuk berada di saf yang pertama.

Ia merupakan antara amalan sunnah yang sangat dititikberatkan oleh Baginda SAW ke atas kaum lelaki, bahkan Baginda sendiri tidak meninggalkan solat secara berjemaah.

Sebagaimana ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1509)

Namun, ada sesetengah dari kita yang tidak dapat peluang untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Hal ini mungkin disebabkan kekangan masa atau situasi yang jauh dari masjid dan surau, mungkin menyukarkan sedikit untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Solat Yang Dilakukan Dengan Ikhlas

Solat adalah instrumen yang sangat penting dan utama untuk mendekatkan diri kepada tuhan. Dengan menunaikan solat, kita bukan sahaja taat kepada Allah, tetapi solat adalah salah satu cara untuk menunjukkan rasa syukur, meluahkan perasaan dan menghadirkan rasa cinta kepadaNya.

Jadi, sama ada solat itu dilakukan secara berjemaah mahupun bersendirian, jika ia ditunaikan dalam keadaan hati yang ikhlas kepada Allah dan dapat menghadirkan rasa khusyuk, Allah pasti akan memberi ganjaran yang setimpal dengannya.

Solat secara bersendirian tidak akan membawa kerugian jika melalui solat itu dapat mendidik hati anda untuk lebih khusyuk.

Ikhlas yang dimaksudkan juga adalah kerana Allah dan bukan dengan tujuan menunjuk atau mendapat perhatian manusia.

Jadi, kita faham di sini bahawa jika amalan yang dilakukan itu ikhlas; tidak kiralah solat itu secara bersendirian mahupun berjemaah, Allah pasti akan menimpakan ganjaran yang besar dan sesuai dengannya.

Jika hadir perasaan cemburu terhadap insan yang berjaya menunaikan solat secara berjemaah, niatkan dalam hati agar suatu hari nanti Allah akan memberi peluang kepada anda juga dan dipermudahkan jalan untuk menunaikannya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Cemburu Dengan Insan Yang Diberi Peluang Menunaikan Solat Berjemaah? first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.