Awas, Jangan Hanya Menghitung Musibah
Manusia diuji dengan perasaan suka berkeluh kesah. Apabila mendapat ujian, dia bersedih dan suka mengeluh manakala apabila mendapat nikmat pula dia sering lupa untuk bersyukur.
Mudah sekali untuk kita tenggelam dalam masalah dan ujian apabila ia berlaku. Fikiran hanya tertumpu pada masalah malah lebih teruk lagi jika kita merasakan bahawa Allah langsung tidak pernah memberikan kebaikan dalam hidup kita tetapi hanya masalah sahaja.
Awas, jika anda sering berfikir begini. Ia menandakan anda sudah terperangkap dalam ujian sikap ‘kanud’ iaitu orang yang ingkar dan tidak berterima kasih atas nikmat yang telah diberikan Tuhan.
Menurut Imam Hassan Al-Basri, orang yang kanud adalah orang yang terus menerus menghitung musibah demi musibah, lantas melupakan pelbagai nikmat yang telah Allah berikan. Justeru, ayuh kita usahakan cara untuk mengelakkan diri daripada hanya menghitung musibah:
#1– Memulakan setiap hari baru dengan kalimah Alhamdulillah.
#2– Melakukan muhasabah dan merenung nikmat yang ada pada diri saat itu berupa kesihatan badan, kemampuan untuk bernafas selesa, boleh menelan makanan dan sebagainya.
#3– Mengambil iktibar daripada kesusahan orang lain.
#4– Mengucapkan istighfar dan zikir agar hati diberi ketenangan daripada perkara yang menyerabutkan.
#5– Memujuk hati dengan ucapan-ucapan yang baik, antaranya dengan menyebut:
“Allah tahu apa yang terbaik untukku, ujian ini akan membuatkan aku lebih kuat”
“Setiap orang mempunyai cabaran masing-masing. Tidak wajar untuk aku membandingkan kerana aku tidak tahu apa sebenarnya yang dia lalui”
Ujian yang Allah berikan mungkin sementara sahaja jika dibandingkan dengan nikmat yang telah didapati sekian lamanya. Dan bukankah seorang mukmin itu melihat bahawa setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya mengandungi sesuatu yang berguna untuk dipelajari?
Usah hanya menghitung musibah dan masalah yang ada. Ia boleh membuatkan hati semakin lemah dan hilang semangat sehingga akhirnya kita tidak mampu lagi melihat nikmat yang dilimpahkan oleh Allah.
The post Awas, Jangan Hanya Menghitung Musibah first appeared on Tazkirah.
No comments: