Ads Top

Bayar Denda Kerana Lewat Pulangkan Barang Pinjam – Adakah Sama Dengan Riba?

Dalam Islam, konsep meminjam disebut sebagai ‘Ariyyah yang bermaksud membenarkan penggunaan sesuatu yang halal digunakan dengan mengekalkan keadaan asal.

Tidak dinafikan ia dapat meringankan beban dan memudahkan urusan orang lain yang memerlukan. Namun apabila meminjam, ada adab yang perlu dijaga iaitu dengan memelihara barang tersebut sebaiknya serta memulangkan pada waktu yang telah ditetapkan.

Kita mendapati bahawa dalam beberapa keadaan, denda dikenakan apabila terlewat memulangkan barang yang dipinjam contohnya apabila buku lewat dipulangkan ke perpustakaan, maka ada denda yang perlu dibayar seiring dengan pertambahan hari.

Adakah hal ini dibenarkan dalam Islam, atau adakah ia menyerupai konsep riba?

Secara kasarnya, memang maksud riba adalah pertambahan yang dikenakan pada perkara tertentu yang biasanya berlaku dalam aktiviti hutang dan jual beli. Contohnya apabila seseorang itu berhutang duit, dia dikenakan bayaran lebih sebagai hadiah atau tambahan.

Ibnu Qudamah rahimahullah berkata,

وَكُلُّ قَرْضٍ شَرَطَ فِيهِ أَنْ يَزِيدَهُ ، فَهُوَ حَرَامٌ ، بِغَيْرِ خِلَافٍ

“Setiap hutang yang dipersyaratkan ada tambahan, maka itu adalah haram. Hal ini tanpa diperselisihkan oleh para ulama.” (Al-Mughni, 6: 436)

Walau bagaimanapun dalam hal pinjaman barang ini, ia bukan konsep hutang tetapi pinjaman. Jadi denda yang dikenakan tidak dianggap sebagai riba kerana ia hanya dianggap sebagai ganti rugi kerana menggunakan barang tanpa keizinan pemilik.

Contohnya pinjaman buku, ia diizinkan hanya dalam tempoh dua minggu sahaja. Hari yang sudah terlebih adalah hari yang tidak lagi diizinkan.

Tetapi, denda tersebut harus dipersetujui dari awal. Kata Imam Nawawi, pemilik barang pinjaman boleh meletakkan syarat (muqayyad) seperti mengehadkan cara penggunaan atau tempoh penggunaan barang yang dipinjam.

Contoh seperti yang diberikan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan ialah, syarat penggunaan kereta yang dipinjam hanyalah di dalam kawasan kampung atau terhad kepada tiga orang penumpang atau meminjam dalam masa seminggu sahaja.

Jadi, apabila pihak yang meminjam barang tidak mematuhi syarat yang sudah dipersetujui, dia boleh dikenakan denda (dhaman) mengikut kebiasaan atau kadar yang telah ditetapkan oleh pemilik barang.

Tambahan pula, tujuan dikenakan bayaran denda tersebut adalah untuk mengelakkan peminjam daripada berlengah-lengah untuk memulangkan barang tersebut mengikut masanya. Wallahua’lam.

Sumber rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.