Sabarnya Nabi Ayyub – 3 Pengajaran Yang Boleh Diambil
Apabila berbicara mengenai Nabi Ayyub, kita melihat sirahnya sebagai seorang nabi yang sangat tabah dalam menghadapi ujian
Walaupun kita mengetahui bahawa setiap daripada rasul mempunyai ujiannya yang tersendiri dan sesuai dengan kemampuannya, namun ujian Nabi Ayyub tidak kurang hebatnya.
Beliau merupakan nabi yang berasal daripada Rom (Romawi). Nama sebenarnya adalah Ayyub bin Mush bin Razak bin al-‘Sih bin Ishaq bin Ibrahim al-Khalil.
Nabi Ayyub ialah seorang nabi yang kaya-raya; dengan mempunyai keluasan tanah yang berbidang-bidang, haiwan ternakan yang subur dan keturunannya yang banyak.
Namun, nikmat yang diperoleh itu tidak sekalipun membuatkan dirinya berpaling dari Allah apatah lagi sombong.
Diriwayatkan bahawa beliau merupakan seorang yang terkenal dengan keperibadian yang baik, suka membantu orang sekeliling, menyayangi orang miskin dan ketakwaannya kepada Allah sangat tinggi.
Bahkan, ramai orang yang amat menyenangi perlakuan beliau kerana kekayaannya itu banyak memberi manfaat kepada orang sekeliling.
Walau bagaimanapun, nikmat yang dirasai itu tidak lama kerana Allah SWT telah melemparkan ujian ke atasnya dengan memberi kesakitan sehingga menyebabkan ramai orang mula menjauh darinya.
Ulama tafsir dan sejarah berkata – “Pada mulanya Ayyub AS adalah seorang lelaki yang memiliki banyak harta, berupa tanah yang luas, haiwan ternakan dan kambing, iaitu pada bahagian bumi yang bernama Tsaniyah di Hunan yang terletak di negeri Syam.”
Ibnu Asakir pula meriwayatkan – “Semua yang dimiliki itu adalah milik Allah lalu dia diuji dengan kehilangan semua harta tersebut, juga dengan berbagai ujian yang lain pada tubuhnya sehingga tidak ada sejengkal pun dari bahagian tubuhnya kecuali ditimpa penyakit kecuali pada hati dan lisannya.”
Maka, dengan dua perkara yang masih ada, beliau sentiasa berzikir dan mengingati Allah pada setiap pagi, petang dan malam.
Walaupun orang mula menjauh darinya, namun beliau tidak pernah mengeluh kerana menyedari bahawa hanya Allah tempat pergantungannya.
Diriwayatkan bahawa isterinya yang sentiasa setia bersamanya dan menjaga sakit serta makan minumnya. Namun, sampai satu saat, isterinya merasa penat dengan tugas tersebut dan menyuruh orang lain untuk menguruskan suaminya itu. (Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, 5:349)
Ibn Syihab berkata, penyakit yang ditimpanya tersangat lama sehingga memakan masa 18 tahun. Manakala, Imam Hassan An-Basri berkata, beliau ditimpa penyakit selama 7 tahun dan beberapa bulan lamanya.
Walau bagaimanapun, dalam tempoh diuji ini, beliau tidak pernah mengeluh dan tidak berputus asa berdoa kepada Allah. Bahkan, ketakwaannya semakin meninggi.
Sehinggalah Allah memberikan kembali kesembuhan kepadanya dan nikmat yang pernah dirasai sebelum ini.
Teladani Kesabaran Nabi Ayub
Dalam kisah Nabi Ayub, terdapat pelbagai pengajaran dan iktibar yang boleh diambil, antaranya;
#1 – Bersangka Baik Dengan Allah
Nabi Ayyub pernah berkata kepada isterinya – “Allah memberi aku rahmat dan kenikmatan yang tinggi selama hampir 70 tahun. Namun, sakit yang Allah timpakan ini adalah sebagai ujian untuk aku bersabar sama seperti masa sihatku itu. “ (Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, 5:349-350)
Beliau tidak pernah menyalahkan takdir yang berlaku ke atas dirnya kerana beliau yakin dan percaya bahawa nikmat dan ujian yang datang dari Allah itu adalah untuk meningkatkan keimanannya.
Beliau bahkan tidak pernah mengeluh dengan ujian tersebut kerana beliau tahu bahawa ia adalah sedikit sahaja jika dibandingkan dengan nikmat kesihatan dan kekayaan yang Allah berikan.
#2 – Allah Menguji Sesuai Kemampuan
Kita sering dengar akan perkataan yang menyebut ‘Allah tidak menguji melebihi batas hambaNya.’
Namun, adakah kita percaya akan perkara tersebut? Kadang-kadang, apabila diuji, kita sering bertanya kepada Allah dan merasakan ujian ini adalah ujian yang amat berat sehingga hati kita akan menyalahkanNya.
Namun, apabila diimbas kembali, itulah ujian yang berjaya kita lewati. Dan perkara ini akan berlaku lagi kerana manusia itu sering diuji.
Tetapi, ujian yang Allah berikan itu adalah sesuai dengan kemampuan manusia. Allah tidak akan memberi yang lebih selagi kita masih belum mampu. Sama juga dengan nikmat yang diperoleh.
Allah memberi berdasarkan apa yang kita perlu dan mencukupi. Itulah yang dimaksudkan dengan apa yang kita mampu.
Dalam kisah Nabi Ayyub ini, beliau mampu menangani ujian yang dihadapi. Bahkan, ujiannya itu adalah yang mendekatkan dirinya kepada tuhan.
#3 – Sabar Dan Doa
Kunci utama apabila diuji adalah dengan bersabar dan berdoa kepada Allah. Sebab ujian dan nikmat itu datangnya dari Allah.
Apabila kita sabar, kita tidak akan mudah penat. Bayangkan, kita sudah penat menghadapi ujian-ujian itu ditambah pula dengan kepenatan hati kita sebab terlalu mengeluh dan kepenatan otak yang terlalu berfikir, jadi semakin berganda-ganda penatnya nanti.
Disebabkan itu, apabila ditimpa ujian, kita perlu belajar bersabar. Yang paling penting adalah dengan tidak pernah berputus harap kepadaNya.
Kesimpulan
Ujian setiap manusia itu berbeza-beza sesuai dengan kemampuannya. Kita tidak boleh membandingkan ujian dan kehidupan yang dilalui, tetapi kita boleh melihat ujian orang lain sebagai asbab untuk memotivasikan kita.
Belajarlah dari ujian yang ditimpa oleh Nabi Ayub. Walaupun beliau telah kehilangan semuanya, namun keimanannya kepada Allah tidak pernah pudar.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Kisah Nabi Ayyub
Rumaysho.com
No comments: